16 stesen MRT laluan Kajang-Putrajaya jalani pemeriksaan perakuan bomba mulai Khamis

Rapid Rail dengan kerjasama JBPM Selangor akan melaksanakan pemeriksaan perakuan bomba di 16 stesen MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya pada 5 dan 6 Disember ini. - Gambar hiasan
Rapid Rail dengan kerjasama JBPM Selangor akan melaksanakan pemeriksaan perakuan bomba di 16 stesen MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya pada 5 dan 6 Disember ini. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor akan melaksanakan pemeriksaan perakuan bomba di 16 stesen MRT Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya pada 5 dan 6 Disember ini.

Rapid Rail dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemeriksaan secara menyeluruh itu akan dilakukan selepas tamat waktu operasi perkhidmatan MRT iaitu bermula jam 12 tengah malam hingga 4 pagi.

Stesen yang terlibat pada 5 Disember ialah Stesen Taman Suntex, Stesen Sri Raya, Stesen Bandar Tun Hussein Onn, Stesen Batu 11 Cheras, Stesen Sungai Jernih, Stesen Bukit Dukung, Stesen Stadium Kajang dan Stesen Kajang.

Pada 6 Disember pula, stesen terlibat ialah Stesen Sungai Buloh, Stesen Kampung Selamat, Stesen Kwasa Damansara, Stesen Kwasa Sentral, Stesen Kota Damansara, Stesen Surian, Stesen Mutiara Damansara dan Stesen Bandar Utama.

"Inisiatif ini adalah hasil kerjasama dengan JBPM Selangor dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd bagi memastikan kesemua sistem pencegah kebakaran yang ada di stesen-stesen MRT ini berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kecemasan dan mengenal pasti protokol keselamatan kebakaran yang berpotensi untuk diperbaiki.

"Ini juga adalah usaha berterusan daripada semua pihak yang terlibat bagi menyediakan perjalanan dan persekitaran yang selamat untuk pengguna Rapid KL,” menurut kenyataan itu.

Justeru, orang awam atau penduduk yang tinggal di kawasan sekitar stesen terbabit dinasihat agar tidak khuatir apabila mendengar penggera kebakaran.

Pengguna boleh menghubungi khidmat pelanggan Rapid KL di talian 03-7885 2585 atau merujuk laman media sosial Rapid KL untuk sebarang pertanyaan atau mendapatkan maklumat lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!