Kanak-kanak perempuan melecur, lebam disyaki didera ibu kandung
KLUANG - Polis menahan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penderaan anak perempuannya yang berusia 10 tahun di Kampung Tengah di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, penahanan suri rumah berusia 32 tahun pada jam 12.15 tengah hari itu susulan laporan dibuat guru besar sekolah mangsa.
"Guru besar terbabit dimaklumkan mangsa telah di simbah air panas sehingga mendatangkan kesan melecur yang teruk di bahagian belakang badan.
"Pemeriksaan lanjut pada tubuh badan mangsa mendapati ada satu kesan lebam di kaki kanan, kesan lecuran di kaki kiri dan kesan di tumbuk di pipi kiri sehingga lebam," katanya dalam kenyataan pada malam Selasa.
Dalam pada itu, Bahrin berkata, hasil pemeriksaan dibuat di hospital mendapati kecederaan mangsa 'alleged child abused by biological mother sustained well heal burn injury over back'.
"Suspek yang tiada rekod jenayah dibenarkan direman selama enam hari sehingga 8 Disember oleh Mahkamah Majistret Kluang pada Selasa dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2012," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!