Raja Muda Selangor berkenan berangkat ke Pertandingan Akhir Debat Rakan Muda

Juara pertandingan SMJK Katholik Petaling Jaya bergambar bersama Tengku Amir dan Hannah (dua kiri)
Juara pertandingan SMJK Katholik Petaling Jaya bergambar bersama Tengku Amir dan Hannah (dua kiri)
A
A
A

SHAH ALAM - Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke Pertandingan Akhir Debat Rakan Muda Debating Championship Selangor State Level 2024 di Spacerubix, Puchong.

Keberangkatan baginda turut diiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr Nagalendran Kangayatkarasu.

KBS dalam kenyataannya memaklumkan, pertandingan diadakan bagi menzahirkan hasrat memperkasa peranan belia dalam revolusi digital dengan tema Mengemudi Revolusi Digital dan Masa Depan Masyarakat.

Jelasnya, topik didebatkan pula meliputi pengurangan jurang digital, memperkasa inovasi, penggunaan teknologi secara bijak dan penerapan teknologi secara positif dan inklusif.

Menurut KBS, hasrat itu sejajar dengan Model Pembangunan Belia Madani2030 (MPBM2030) dan Dasar Belia Malaysia (DBM).

"Pertandingan ini telah berlangsung secara hybrid di mana pusingan awal berlangsung secara dalam talian bermula 30 November 2024 hingga 1 Disember lalu.

"Separuh akhir dan akhir berlangsung secara fizikal pada Selasa melibatkan 90 peserta dari 18 sekolah menengah awam dan swasta di seluruh Selangor," menurut KBS menerusi kenyataan itu.

KBS menambah, pertandingan akhir itu menyaksikan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katolik Petaling Jaya berjaya muncul sebagai juara pertandingan.

Artikel Berkaitan:

"Naib johan pula dimenangi Sri KDU Kota Damansara manakala pembahas terbaik pertandingan akhir dirangkul Audric Kwan dari SMJK Katholik Petaling Jaya," ujarnya.

Tambahnya, selain pertandingan debat, program tersebut turut menyediakan aktiviti sampingan seperti pameran Rakan Muda dan persembahan kebudayaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!