Presiden Korea Selatan isytihar undang-undang tentera

Yoon Suk Yeol
Yoon Suk Yeol
A
A
A

SEOUL - [DIKEMAS KINI] Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera pada Selasa, sambil mendakwa parti pembangkang terlibat dalam 'aktiviti anti-negara yang merancang pemberontakan', lapor agensi berita Yonhap.

"Undang-undang tentera ini bertujuan membanteras kumpulan pro-Korea Utara dan melindungi kestabilan perlembagaan berteraskan kebebasan," kata Yoon dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Langkah ini diambil selepas pembangkang, Parti Demokratik (DP) meluluskan rang undang-undang pengecilan belanjawan dalam Jawatankuasa Belanjawan Parlimen, selain mengemukakan usul pendakwaan terhadap seorang juruaudit negara dan ketua pendakwa raya.

Yoon berkata, langkah mengisytiharkan undang-undang tentera ini bertujuan 'membangunkan semula dan mempertahankan' negara yang sedang berdepan cabaran besar.

Beliau mengakui pengisytiharan itu mungkin menyebabkan 'sedikit ketidakselesaan' kepada rakyat tetapi Yoon berjanji untuk 'menormalkan' negara dengan segera sambil menegaskan komitmen kerajaan terhadap dasar luar yang memenuhi tanggungjawab dalam masyarakat antarabangsa.

Presiden turut menyatakan sejak beliau memegang jawatan pada Mei 2022, sebanyak 22 usul pendakwaan telah dikemukakan terhadap pegawai kerajaan, dengan pembangkang meneruskan usaha pendakwaan ke-10 sejak Parlimen ke-22 bersidang pada Jun.

Yoon menyifatkan situasi itu sebagai 'tidak pernah berlaku' dalam sejarah negara dan politik global, sambil menuduh tindakan pembangkang telah melumpuhkan fungsi cabang eksekutif secara signifikan.

Artikel Berkaitan:

Mengenai rang undang-undang pengecilan belanjawan, Yoon berkata, pengurangan itu akan menjejaskan fungsi penting kerajaan, termasuk pencegahan jenayah dadah dan langkah untuk keselamatan awam, menjadikan negara 'syurga bagi jenayah dadah dan meletakkan keselamatan awam dalam krisis'.

Beliau turut mendakwa DP menggunakan rang undang-undang belanjawan dan usul pendakwaann sebagai alat politik untuk melindungi pemimpin mereka, Lee Jae Myung, yang sedang berdepan beberapa perbicaraan.

"Parlimen kini menjadi tempat perlindungan bagi penjenayah, melumpuhkan sistem kehakiman dan pentadbiran, serta cuba menggulingkan sistem demokrasi bebas melalui kediktatoran legislatif," katanya.

Di bawah Perlembagaan Korea Selatan, presiden boleh mengisytiharkan undang-undang tentera sebagai tindak balas kepada keperluan ketenteraan semasa perang, konflik bersenjata, darurat dalam negara atau apabila keselamatan dan ketenteraman awam memerlukannya.

Pengisytiharan itu membenarkan sekatan terhadap beberapa kebebasan, termasuk kebebasan akhbar, penerbitan, perhimpunan serta kuasa kerajaan atau mahkamah.

Bagaimanapun, undang-undang tentera boleh ditamatkan sekiranya majoriti Ahli Parlimen mengemukakan permintaan untuk menamatkannya.

Dengan 170 kerusi dalam parlimen yang mempunyai 300 anggota, DP berpotensi membatalkan undang-undang darurat itu melalui undi majoriti.

Tidak lama selepas ucapan Yoon, DP segera memanggil wakil rakyatnya ke Parlimen. Pada masa ini, akses ke dewan itu telah disekat. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!