SMK USJ 23 diingatkan tidak lena dibuai kemenangan

SMK USJ 23 akan berdepan pasukan pasukan pilihan SMK Tinggi Kajang dalam aksi suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 pada Rabu.
SMK USJ 23 akan berdepan pasukan pasukan pilihan SMK Tinggi Kajang dalam aksi suku akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 pada Rabu.
A
A
A

KEJAYAAN menjinakkan pasukan pilihan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun seharusnya tidak membuai pemain-pemain SMK USJ 23 menjelang pertarungan suku akhir menentang SMK Tinggi Kajang.

Sebaliknya, pengendali skuad Bawah 15 tahun Piala Datuk Mokhtar Dahari, SMK USJ 23, Saparin Mat Ibrahim mengakui bahawa cabaran berintensiti tinggi menanti pada fasa lapan terbaik kali ini.

“Syukur kepada ALLAH SWT atas kejayaan ini. Kami sangat berbesar hati dengan pencapaian pasukan SMK USJ 23 dalam pertandingan ini. Ia adalah hasil kerja keras, disiplin, dan semangat juang yang ditunjukkan oleh setiap pemain.

“Menumbangkan pasukan sehebat SMK Dato’ Harun, yang merupakan finalis 2022 dan juara Kumpulan F, pastinya satu pencapaian luar biasa.

“Namun, kami sentiasa mengingatkan pemain-pemain kejayaan ini adalah langkah awal, dan cabaran yang lebih besar menanti dalam usaha untuk merebut tempat dalam kelompok empat terbaik apabila berdepan SMK Tinggi Kajang dalam peringkat suku akhir,” katanya kepada Sukan Sinar apabila menyifatkan kemaraan adalah hasil persediaan rapi, strategi betul serta keyakinan tinggi dalam diri setiap pemain SMK USJ 23.

Sebagai rekod, SMK USJ 23 sebelum menjinakkan SMK Dato’ Harun, 1-0 di Stadium Kuala Selangor pada 26 November lalu, sekolah berpangkalan di Subang Jaya itu merupakan naib juara Kumpulan C di belakang SMK Bandar Tasik Kesuma.

Pasukan SMK USJ 23 membuka kempen Kumpulan C dengan terikat tanpa jaringan berdepan SMK Bandar Tasik Kesuma, seri berdepan SMK Tengku Idris Shah (1-1) sebelum melabuhkan tirai dengan membelasah SM Sains Kuala Selangor, 4-1 di Stadium Kuala Selangor.

Ditanya SMK Tinggi Kajang, juara Kumpulan E yang menyingkirkan SMK Seksyen 10 Kota Damansara, 4-1 menjadi ujian karakter buat pemain-pemain SMK USJ 23, Saparin Mat Ibrahim berkata: “Syukur kepada ALLAH SWT atas peluang dan kekuatan yang diberikan kepada kami untuk terus bersaing dalam kejohanan ini.

Artikel Berkaitan:

“Pertemuan dengan SMK Tinggi Kajang, juara Kumpulan E, pastinya akan menjadi satu ujian besar dan peluang untuk menguji karakter serta ketahanan mental pemain-pemain SMK USJ 23. SMK Tinggi Kajang telah membuktikan kehebatan mereka dengan kemenangan besar ke atas SMK Seksyen 10 Kota Damansara.

“Namun, kami percaya bahawa setiap perlawanan adalah peluang untuk belajar dan berkembang. Kami akan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin, mengatur strategi yang berkesan, dan memastikan pemain sentiasa fokus dan bersemangat.

“Ujian seperti ini penting untuk membentuk pasukan yang lebih kuat, dan kami percaya dengan usaha serta doa, SMK USJ 23 mampu memberikan aksi terbaik. Kami juga berharap semua pihak terus memberikan sokongan kepada pasukan sekolah ini.”

Berkongsi penyertaan SMK USJ 23 dalam kejuaraan pembangunan bakat B-15 itu, Saparin Mat Ibrahim berkata, edisi 2024 merupakan penyertaan kali kedua pasukan sekolah berkenaan

Katanya, penyertaan kali pertama sebelum ini menyaksikan cabaran SMK USJ 23 terhenti di peringkat kumpulan.

“Sejujurnya satu pencapaian yang amat membanggakan memandangkan ia adalah pengalaman pertama pasukan di kejohanan berprestij ini. Walaupun perjalanan kami berakhir di peringkat awal ketika itu, pengalaman tersebut menjadi asas penting untuk memperbaiki kelemahan dan memperkukuh pasukan.

“Kini, dengan penyertaan kali kedua ini, kami berharap untuk melangkah lebih jauh dan mencipta kejayaan yang lebih besar. Terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong usaha kami. Doakan kejayaan pasukan SMK USJ 23,” katanya lagi

Kejohanan pembangunan B-15 edisi 2024 mendapat penajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.

PIALA DATUK MOKHTAR DAHARI B-15

SUKU AKHIR

RABU (4 DISEMBER)

SMK Tinggi Kajang lwn SMK USJ 23

(Padang A Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)

Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah lwn SMK Jalan 3

(Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, 3 petang)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!