Tradisi ilmu, pencerahan pemikiran perlu terus diperkasa - PM

Anwar (dua dari kiri) pada Majlis Peluncuran Buku Amanah Dakwah karya Dr Razali Nawawi & 'Mohammad Natsir Ilmuwan Ulung Alam Melayu Abad Ke-20' karya Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan di Bangi Avenue Konvensyen Centre hari ini. - Foto: Bernama
Anwar (dua dari kiri) pada Majlis Peluncuran Buku Amanah Dakwah karya Dr Razali Nawawi & 'Mohammad Natsir Ilmuwan Ulung Alam Melayu Abad Ke-20' karya Prof Emeritus Tan Sri Dr M Kamal Hassan di Bangi Avenue Konvensyen Centre hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

BANGI - Tradisi ilmu dan pencerahan pemikiran perlu terus diperkasa terutama dalam kalangan generasi muda untuk memastikan Malaysia mampu mencapai aspirasi ke arah menjadi sebuah negara Madani, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usaha mengangkat martabat umat harus bermula dengan memperkukuh asas ilmu pengetahuan.

"Untuk melatih rakyat sama ada (mengenai) pendigitalan atau kecerdasan buatan, (ia) lebih menuntut dan mencabar kita melengkapkan diri dengan kerangka asas (ilmu pengetahuan),” katanya pada Majlis Peluncuran Buku Amanah Dakwah dan Mohamad Natsir: Ilmuwan Ulung Alam Melayu Abad ke-20' di Bangi malam ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Anwar berkata, generasi muda perlu memberi makna kepada konsep addabani rabbi fa ahsana ta'dibi iaitu penghayatan kepada adab dan nilai ilahi yang diintegrasikan dengan kekuatan ilmu, pembacaan serta penelahan terhadap karya besar dan agung.

Beliau berkata, penguasaan ilmu pengetahuan bukan sahaja melibatkan kemahiran teknikal tetapi juga keupayaan memahami falsafah dan nilai yang mendasari pembangunan masyarakat yang harmoni serta progresif.

Anwar berkata, kecemerlangan pula tidak hanya bergantung kepada teknologi tetapi juga bagaimana rakyat Malaysia memanfaatkannya dengan adab dan hikmah.

Beliau berkata, usaha memperkukuh tradisi ilmu adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan rakyat Malaysia terus bersedia mendepani cabaran global yang semakin kompleks.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Natsir: Ilmuwan Ulung Alam Melayu Abad ke-20 karya Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, atau M. Kamal Hassan, antaranya menceritakan tentang keperibadian, kecendekiawanan dan kebaktian Mohammad Natsir sepanjang hidupnya yang wajar dijadikan model serta pedoman oleh umat Islam terutama generasi muda Melayu-Islam hari ini.

Amanah Dakwah yang ditulis Dr Razali Nawawi pula antaranya mengupas perspektif penulis tentang penyebaran risalah Tauhid ke muka bumi seluas-luasnya sebagaimana amanah yang telah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW dalam misi Rahmatan lil Alamin. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!