Jumlah mangsa banjir di seluruh negara berkurangan kepada 59, 815 orang

Penduduk membersihkan lumpur di kediaman mereka setelah banjir mulai surut ketika tinjauan di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu hari ini. - Foto: Bernama
Penduduk membersihkan lumpur di kediaman mereka setelah banjir mulai surut ketika tinjauan di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa di beberapa negeri yang dilanda banjir terus menurun kepada 59,815 orang setakat jam 8 malam ini berbanding 72,620 orang pada petang tadi.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir di enam jajahan terus mencatatkan penurunan kepada 43,586 orang di 97 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan 13,928 keluarga pada malam ini berbanding 44,925 orang yang direkodkan pada sebelah petang.

Menerusi Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 22,241 orang diikuti Tumpat (20,522), Kota Bharu (403), Bachok (318), Tanah Merah (55) dan Pasir Puteh dengan 47 orang.

Portal infobanjir.water.gov.my, Jabatan Pengairan dan Saliran pula memaklumkan hanya dua sungai utama di negeri itu kekal melepasi paras bahaya, namun dalam trend menurun, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang (9.94 meter) dan Sungai Golok di Tumpat (3.82 meter).

Situasi banjir di Terengganu juga semakin baik apabila jumlah mangsa di tujuh daerah menurun kepada 15,767 orang di 59 PPS setakat 8 malam, berbanding 18,935 orang petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan daerah Kuala Nerus mencatat jumlah mangsa paling tinggi, iaitu sebanyak 6,404 orang daripada 1,679 keluarga yang berada di 15 PPS manakala di daerah Dungun mencatatkan 5,628 mangsa (1,388 keluarga) yang masih berada di 20 PPS.

Di daerah Kuala Terengganu pula, sejumlah 2,895 mangsa (709 keluarga) berlindung di sembilan PPS sementara di daerah Hulu Terengganu, 466 mangsa (121 keluarga) ditempatkan di tujuh PPS.

Bagi daerah Marang, seramai 192 mangsa (44 keluarga) berada di tiga PPS manakala di daerah Setiu, 169 mangsa (30 keluarga) di empat PPS diikuti 13 mangsa (empat keluarga) di sebuah PPS di daerah Kemaman.

Artikel Berkaitan:

Selain itu menurut JPBNT, kesemua mangsa banjir di Besut telah pulang ke kediaman masing-masing setelah air surut berikutan cuaca cerah sejak semalam.

Berdasarkan laporan melalui portal info banjir, paras air di dua stesen, iaitu Parit Utama di Padang Kemunting (F1) dan Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus melepasi paras bahaya.

Tiga lagi stesen, iaitu Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1), Kuala Terengganu; Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1), Hulu Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu telah melepasi paras amaran.

Di Pahang, semakan menerusi aplikasi InfoBencana JKM mendapati sebanyak 39 mangsa membabitkan tujuh keluarga di daerah Temerloh dan Bera ditempatkan di empat PPS setakat 8 malam ini manakala banjir di daerah Raub, Lipis dan Jerantut telah pulih sepenuhnya hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kol (PA) Che Adam A Rahman meminta penduduk di daerah Temerloh, Bera, Maran dan Pekan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana berikutan penurunan aliran air Sungai Pahang ke kawasan mereka.

"Sepertimana kita sedia maklum, penurunan air dari hulu ke hilir ketika ini telah mula memberi impak ke Temerloh hingga Bera dan seterusnya akan ke Maran dan berakhir di Pekan," katanya menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir setakat 8 malam ini terus berkurangan kepada 423 orang daripada 138 keluarga di sembilan PPS berbanding 615 orang daripada 194 mangsa, petang tadi.

Menurut sekretariat itu, sebanyak 184 mangsa berada di daerah Kinta, 15 mangsa banjir di daerah Larut, Matang dan Selama, 80 orang di Hilir Perak, Kampar (74) serta Perak Tengah (70). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!