Menyesal belikan anak kecil telefon bimbit
TELEFON bimbit sudah menjadi 'aset' penting kepada hampir semua manusia di zaman moden ini kerana kebergantungan terhadap alat itu yang amat tinggi.
Di dalam alat itu terdapat banyak aplikasi yang memudahkan kehidupan manusia menyebabkan ada yang tidak boleh hidup tanpanya.
Sebelum tidur dan bangun pagi sudah menatapnya. Tangan kanan suap makanan, tangan kiri memegang telefon bimbit.
Waima ada juga yang membawa telefon bimbit ke jamban bagi menemani saat privasi itu.
Pendek kata, banyaklah kisah berkaitan telefon bimbit jika hendak dicoretkan. Mungkin berjilid-jilid buku boleh ditulis jika hendak diceritakan.
Cumanya apabila berbicara soal ini, Merak Jalanan teringat penyesalan seorang sahabat yang terlalu awal memberikan telefon bimbit kepada anak kecilnya.
Pada awalnya, telefon bimbit memudahkan hidupnya dan isteri kerana anak kecil itu tidak meragam dan membuat hal sendiri dengan menonton kartun.
Namun lama kelamaan, kesan negatif gajet itu telah menyebabkan kehidupan anaknya sukar dikawal lagi.
Mata anak yang berusia 7 tahun sudah mulai rabun, melontar perkataan yang tidak pernah diajarkan di rumah dan bersikap agresif apabila dikawal penggunaan telefon.
Untuk menapis kandungan video juga mencabar kerana ibu bapa pula sibuk dengan kerja.
Melihat perubahan ketara terhadap anak sulung itu, kawan Merak Jalanan sudah insaf dan tekad tidak akan membuat kesilapan sama.
Anak kedua, ketiga dan keempat tidak lagi diberikan telefon bimbit dengan kemudahan internet.
Untuk berhubung, kawan Merak Jalanan belikan telefon bimbit 'orang tua' yang hanya boleh digunakan untuk membuat panggilan masuk dan keluar sahaja.
Kini hidup keluarga kawan Merak Jalanan makin aman apabila anak-anak hidup tanpa telefon bimbit berinternet.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!