Penduduk pancing ikan keli beramai-ramai di jalan berlubang
MEDAN - Gelagat sejumlah penduduk memancing ikan keli beramai-ramai di jalan yang berlubang sebagai tanda protes menjadi tular di media sosial.
Komuniti setempat termasuk kanak-kanak turut menyaksikan 'tunjuk perasaan' unik di wilayah Kecamatan Kutambaru, Kabupaten Langkat, Sumatera Utara di Indonesia berikutan tiada tindakan diambil pihak berkuasa untuk membaiki laluan tersebut meskipun aduan sudah dibuat.
Mereka turut membawa peralatan memancing sambil duduk santai di tepi lopak yang terhasil akibat jalan rosak tersebut.
Bantahan itu akhirnya mendapat respons pemerintah kecamatan hingga ke pihak Dinas Pekerjaan Umum dan Penataan Ruang (PUPR) Langkat.
Ketua Daerah Kutambaru, Rahmat Sembiring berkata, beliau telah menjadi orang tengah meminta penurapan laluan tersebut dari persimpangan Tanjung Kasih hingga pajak Kutambaru sepanjang tujuh kilometer," katanya pada Selasa.
Menurutnya, beberapa mesyuarat turut diadakan bagi menangani isu tersebut.
"Pada tahun depan, jalan protokol Kecamatan Kutambaru sepanjang 175 meter akan diturap," ujarnya.
Sementara itu, insiden protes itu turut menarik perhatian Ketua Agensi Kerja Raya dan Perancangan Ruang (PUPR), Khairul Azmi yang memaklumkan penyelenggaraan jalan itu akan dibuat pada akhir bulan ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!