Pekerja restoran cuci pinggan guna air sungai kotor
PALEMBANG - Seorang pekerja restoran di Palembang, Indonesia dikecam netizen selepas didapati mencuci pinggan di sebatang sungai yang kelihatan dicemari sampah sarap.
Video yang tular di media sosial baru-baru ini menyaksikan seorang wanita mencuci pinggan mangkuk menggunakan air sungai tersebut yang terletak bersebelahan restoran berkenaan.
Video yang mendapat komen seorang blogger makanan @codebluuu turut mempersoalkan bagaimana pekerja tersebut tergamak membasuh pinggan mangkuk di kawasan kotor dan dipenuhi sampah yang dibimbangi akan menyebabkan masalah kesihatan berkaitan makanan.
"Lebih baik perniagaan anda bankrap atau ditutup terus," katanya.
Seorang netizen yang dikenali sebagai Dr Dion Haryadi turut memberi komen menerusi akaun Instagram berhubung isu tersebut.
Katanya, kawasan basuh pinggan mangkuk yang tercemar dan kotor akan memberi kesan buruk kepada kesihatan pelanggannya kerana menjadi tempat pembiakan jutaan bakteria berbahaya.
Tambahnya, risiko berkemungkinan menjadi sangat berbahaya, terutamanya bagi orang tertentu seperti warga emas, wanita hamil dan kanak-kanak.
"Bagi mereka yang mempunyai sistem imun yang lebih rendah, memakan makanan dalam bekas yang belum dibasuh dengan air bersih boleh membawa maut.
"Beberapa risiko masalah kesihatan lain yang berlaku akibat tidak menjaga kebersihan bekas makanan ialah cirit-birit, hepatitis A dan jangkitan bakteria E.Coli.
"Sepatutnya, semua pinggan mangkuk, sudu atau garpu mesti dibersihkan dengan air bersih dan bukannya menggunakan air di kawasan sampah, " kata Dr. Dion. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!