Van Nistelrooy kembali nyala permulaan cemerlang di Leicester City
BEKAS pengendali sementara Manchester United, Ruud van Nistelrooy membuka hari baharu pertengahan musim saingan Liga Perdana Inggeris dengan noktah cemerlang apabila mengemudi Leicester City meraih tiga mata ke atas West Ham United pada Rabu.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium King Power itu menyaksikan The Foxes mengalahkan The Hammers 3-1, sekali gus untuk mata ke-13 musim ini selepas mengharungi 14 perlawanan liga.
Kekalahan ketujuh musim ini juga meletakkan West Ham United asuhan pengendali dari Sepanyol, Julen Lopetegui kekal di kedudukan ke-14 dengan 15 mata selepas melepasi perlawanan ke-14 liga.
Jamie Vardy, 37, meletakkan Leicester City memimpin separuh masa pertama dengan gol minit kedua permainan hasil sentuhan pemain asal Maghribi, Bilal El Khannouss, 20, menewaskan penjaga gol West Ham United, Lukasz Fabianski, 39, kelahiran Poland.
Khannouss kemudiannya melebarkan jaringan minit ke-61 diikuti tambahan gol pemain gantian Patson Daka (m-90) sebelum West Ham United mengambil peluang saguhati lewat permainan menerusi tandukan Niclas Füllkrug, 31, (m-93) sekembalinya pemain Jerman berkenaan daripada kecederaan.
Leicester sebelum ini kemarau kemenangan dalam enam perlawanan terakhir semua kejuaraan di bawah kendalian Steve Cooper, 44, hingga menyaksikan pengendali kelahiran Wales itu dilepaskan dari jawatan selepas tewas 1-2 di Stadium King Power kepada Chelsea, dibimbing bekas pengendali The Foxes, Enzo Maresca.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!