Liga ACLE: Bidoglio puas hati aksi pemain JDT
BIARPUN sekadar terikat tanpa jaringan berdepan Buriram United pada aksi Liga Juara-Juara Asial Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim pada Selasa, namun pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tetap berbangga dengan prestasi dipamerkan kesebelasan pemain.
Menurutnya, kesemua pemain telah beraksi dengan baik walaupun terpaksa mengharungi perlawanan hanya dengan 10 pemain selain kehilangan seorang lagi pemain pada penghujung perlawanan.
“Bagi saya, kesemua pemain telah beraksi dengan baik, mereka berhasil menyerang, bertahan dan mengawal permainan dengan baik.
“Bukan mudah sebenarnya untuk beraksi di peringkat ini (ACLE), namun kesemua pemain telah membuktikan mereka beraksi sebagai satu pasukan.
“Apa pun, saya tetap berbangga dengan aksi dipamerkan pemain kerana mereka berjaya mengawal permainan di sebalik pihak lawan yang mengawal bola di sepanjang perlawanan,” katanya ketika sidang akhbar sejurus tamat perlawanan pada Selasa.
Untuk rekod, JDT beraksi dengan 10 pemain bagi tempoh 90 minit permainan apabila pemain import, Murillo Henrique dilayangkan kad merah pada minit ke-12, sebelum pemain pertahanan import, Park Junheong menerima nasib sama pada masa kecederaan.
Keputusan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan itu berdepan laluan getir bagi mengesahkan slot ke pusingan seterusnya apabila berada di kedudukan dengan mata hasil selain perlu mencatatkan kemenangan dalam dua aksi terakhir.
Sementara itu, tonggak pertahanan skuad Harimau Selatan yang turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, Eddy Israfilov menegaskan kesemua pemain telah memberikan aksi terbaik di sepanjang perlawanan.
“Memang sukar untuk beraksi dengan 10 pemain, apatah lagi berdepan dengan sebuah pasukan yang baik seperti Buriram United.
“Tetapi, semua pemain telah memberikan aksi terbaik dan kami juga ada beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
“Apa pun, kami semua akan tetap memberikan yang terbaik pada baki perlawanan akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!