Hubungan baik dengan negara ASEAN tingkat potensi dagangan NR-REE

Saarani ketika menjawab soalan tambahan Abdul Aziz sempena Sidang DUN Perak pada Rabu.
Saarani ketika menjawab soalan tambahan Abdul Aziz sempena Sidang DUN Perak pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak perlu menjalin hubungan baik dengan negara-negara Asia Tenggara bagi meningkatkan potensi dagangan khususnya produk hasil unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak memang mempunyai hubungan baik sedia ada dengan Singapura, Indonesia dan Thailand.

Malah katanya, kerjasama lebih erat terjalin menerusi Indonesia Malaysia Thailand Growth Triangle (IMTGT) yang bermesyuarat secara bergilir-gilir melibatkan tiga negara berkenaan malah Perak pernah menjadi tuan rumah pada tahun lepas.

"Selain itu, kita mesti ada hubungan baik dengan jiran-jiran lain di luar dari IMTGT, negara-negara ASEAN yang lain kerana kita ada keperluan untuk berdagang dengan mereka terutama apabila kita ada hasil mahsul daripada bumi iaitu lantanida atau NR-REE.

"Maka keperluan untuk kita berdagang dengan negara jiran adalah penting sebab kita telah buat keputusan tidak boleh eksport bahan mentah NR-REE melainkan kita akan mengeksport produk akhir seperti magnet, EV dan sebagainya. Jadi hubungan baik itu merupakan satu keperluan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Abdul Aziz Bari (PH-Tebing Tinggi) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Rabu.

Menurutnya, hubungan baik di antara negeri Perak dengan negara-negara luar bukanlah asing kerana ia telah terjalin sejak sekian lama.

Menjawab soalan lisan Aziz Bari mengenai lawatan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon dan delegasi pada 8 Oktober lalu, Saarani menjelaskan kehadiran pemimpin itu membincangkan potensi dan peluang kerjasama pelaburan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia melibatkan projek-projek berkepentingan tinggi negeri seperti Silver Valley Technology Park (SVTP), Automotive Hi-Tech Valley (AHTV), Lumut Maritime Industrial City (LuMIC), Perak Halal Industrial Park (Perak HIP) dan Kerian Green Integrated Industrial Park (KIGIP).

Jelasnya, kerajaan negeri juga mengambil peluang memberi penerangan ringkas berkenaan Rangka Tindakan Perindustrian Perak yang akan memacu pertumbuhan sektor pembuatan, perkhidmatan dan ekonomi digital selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030.

"Turut dibincangkan ialah berkenaan ekosistem industri pelancongan di Perak yang menjanjikan pelbagai tarikan unik dan menarik dari sudut keindahan alam, sejarah dan budayanya.

"Tambahan lagi, mobiliti pengunjung dan pelawat dipermudahkan melalui akses penerbangan langsung Ipoh-Singapura sebanyak tiga kali sehari," katanya.

Beliau berkata, selain itu, Institut Darul Ridzuan (IDR) telah membentangkan hasil usahasama dengan Singapore University of Social Science (SUSS) dalam bentuk pelan, projek mahu pun program yang memfokuskan bidang-bidang utama seperti pertanian, digital, pendidikan dan infrastruktur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!