[VIDEO] KBS beri laluan penganjur sukan letakkan syarat pemakaian atlet wanita
KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi laluan kepada penganjur sukan untuk meletakkan syarat pemakaian atlet wanita yang bersesuaian terutama sekiranya penganjuran acara sukan itu dibuat di peringkat negeri.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata, justeru jika ada negeri yang meletakkan syarat pemakaian atlet, KBS sememangnya membenarkannya namun ia perlu dibincangkan dan dimaklumkan terlebih dahulu.
“Kalau kita tengok sebelum ini di beberapa negeri contohnya di Terengganu, kita tidak ada halangan contohnya apabila diletakkan syarat pemakaian (dalam) penganjuran sukan melibatkan wanita.
“Ini sudah menjadi satu kompromi antara kita semua sebab pemegang taruh dalam sukan tidak terhad kepada KBS,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) sama ada kerajaan bercadang meletakkan garis panduan berpakaian khususnya kepada atlet-atlet wanita Muslimah agar sukan dapat disertai oleh ramai wanita tanpa mereka perlu menggadaikan budaya, agama serta Rukun Negara yang kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan.
Adam Adli menjelaskan, pemegang taruh terbabit termasuklah Majlis Sukan Negeri dan persatuan-persatuan sukan yang berada di akar umbi setiap negeri, daerah serta tempat masing-masing.
Tegasnya, selagi syarat pemakaian tersebut tidak menjejaskan prestasi atlet dan dipersetujui oleh semua pihak, KBS akan sentiasa pertimbangkan jalan yang paling baik kerana kementerian tidak ada sebarang pandangan yang negatif terhadap cadangan-cadangan sedemikian.
“Kalau kita tengok atlet dalam negara ini pun, (atlet) bebas berpakaian mengikut keperluan dan kehendak masing-masing. Ada yang patuh syarak, ada yang lebih terbuka. Memang kita sentiasa serahkan (kepada pihak penganjur),” ujarnya.
Adam Adli berkata, KBS menerusi kepimpinan Menterinya, Hannah Yeoh sentiasa mengambil berat soal pematuhan etika termasuk mengenai pemakaian, kesopanan dan sebagainya.
Kata beliau, KBS juga melaksanakan banyak dasar-dasar yang melibatkan pemerkasaan dalam sukan iaitu antaranya aktif mengadakan seminar wanita dalam sukan kebangsaan dan agenda pemerkasaan wanita dalam sukan sepanjang tahun ini dan tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!