Jepun pantau situasi di Korea Selatan
TOKYO - Kerajaan Jepun sedang memantau situasi di Korea Selatan dengan penuh rapi selepas presiden negara itu mengisytiharkan dan kemudiannya membatalkan undang-undang tentera.
Perdana Menteri, Shigeru Ishiba berkata, pemerintah Jepun sedang mengambil kesemua langkah yang wajar untuk memastikan keselamatan rakyat Jepun termasuk memberi amaran menerusi kiriman emel konsulat.
"Kami akan lakukan sedaya upaya untuk memastikan keselamatan mereka," katanya pada Rabu.
Menurutnya, Tokyo masih belum mendapat sebarang maklumat yang menunjukkan bahawa terdapat rakyat Jepun yang bermastautin di Korea Selatan cedera di negara itu.
Beliau berkata demikian selepas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol mengejutkan seluruh dunia pada malam semalam apabila beliau mengisytiharkan undang-undang tentera yang dibatalkan selang beberapa jam kemudian selepas para penggubal undang-undang undi membantahnya.
Tindakan Presiden Yoon mengisytiharkan undang-undang tentera buat pertama kali selepas tempoh empat dekad meletakkan Korea Selatan dalam pergolakan paling buruk bagi sejarah demokrasi modennya dan mengejutkan negara-negara sekutu di seluruh dunia. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!