Ramasamy dihalang ke luar negara
GEORGE TOWN - Bekas Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy mendakwa dihalang ke luar negara selepas dipercayai disenarai hitam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu dikongsikan Setiausaha Interim Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Satees Muniandy apabila Ramasamy dihalang oleh pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk ke Banda Aceh pada tengah hari pada Rabu.
Menurutnya, Ramasamy dijadualkan untuk menerima Anugerah Keamanan dari Wali Nanggoroe Aceh, di Banda Aceh pada malam ini.
"Difahamkan keputusan imigresen ini disebabkan oleh sekatan yang dikemukakan oleh pihak SPRM.
"Apabila dihubungi, pihak SPRM memberitahu bahawa sekatan adalah atas arahan Putrajaya.
"Difahamkan pihak SPRM sedang menyiasat Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang sejak minggu lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Satees berkata, sehingga kini Ramasamy tidak dipanggil oleh pihak SPRM untuk membantu siasatan kes berkenaan namun pihak SPRM terus meletakkan senarai hitam ke atasnya.
Jelasnya, Ramasamy sebelum ini telah berulang kali menyatakan bahawa beliau sedia disiasat bukan sahaja oleh SPRM, tetapi mana-mana pihak berkuasa.
Tambah beliau, Pejabat Wali Nanggoroe Aceh telah membuat segala persiapan protokol menerima Ramasamy sebagai tetamu mereka untuk menganugerahkan anugerah keamanan.
Bagaimanapun, katanya, semua terpaksa dibatalkan pada saat terakhir.
"Kami telah menyatakan kekesalan kepada Pejabat Wali Nanggoroe kerana tidak memenuhi jemputan TYT Wali Nanggoroe pada malam ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!