Kematian penuntut UiTM: Polis tunggu laporan makmal, bedah siasat

Hussein (tengah) ketika Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat yang menyaksikan Akmalrizal (kanan) dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Langat baharu pada Rabu.
Hussein (tengah) ketika Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Langat yang menyaksikan Akmalrizal (kanan) dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kuala Langat baharu pada Rabu.
A
A
A

BANTING - Polis sedang menunggu laporan bedah siasat dan makmal berhubung kes kematian penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam semasa menjalani latihan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) sebelum kertas siasatan dilengkapkan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah bersedia untuk menghantar kertas siasatan ke Mahkamah Koroner bagi tujuan inkues.

"Siasatan setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

"Kita sedang tunggu laporan bedah siasat dan laporan makmal. Lain-lain termasuk keterangan saksi telah selesai dan sedia untuk diserah ke koroner (Mahkamah Koroner) untuk inkues," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Langat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, Superintenden Akmalrizal Radzi dilantik sebagai KPD Kuala Langat baharu selepas jawatan itu dipangku Deputi Superintenden Mohd Sufian Amin.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, kertas siasatan akan diserahkan kepada Mahkamah Koroner bergantung kepada laporan makmal dan bedah siasat diterima.

Isnin lepas, Sinar Harian melaporkan polis telah merekod keterangan 34 individu termasuk pegawai perubatan, jurulatih (Palapes), penuntut UiTM serta pengadu.

Sebelum ini, polis memaklumkan tiada kesan kecederaan luaran dikesan pada Muhammad Amir Rusyaidi, 26, yang dilaporkan meninggal dunia 13 November lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kes berasingan, beliau berkata, pihaknya dalam keadaan bersiap siaga sejak Oktober lepas bagi menghadapi sebarang situasi banjir di musim Monsun Timur Laut (MTL).

"Terbaharu, lokasi yang terkesan banjir ialah Kapar, Klang. Polis dengan agensi lain membantu dan menguruskan pusat pemindahan sementara (PPS) dengan baik.

"Kita telah bersedia termasuk bagi operasi mencari dan menyelamat, menjaga keamanan di kawasan terjejas serta PPS," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!