UMNO belum terima permohonan bekas ahli - Ahmad Zahid
PUTRAJAYA - UMNO belum menerima sebarang permohonan daripada bekas ahli yang ingin menyertai semula parti itu, kata Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, sekiranya terdapat permohonan, perkara berkenaan akan dibentangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan datang.
"Setakat ini, tidak ada permohonan (daripada bekas ahli UMNO). Kita akan bawa kalau ada permohonan, (ia) akan dibawa kepada Jawatankuasa Pengurusan dan akan dibentangkan di Majlis Kerja Tertinggi jika ada,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di sini hari ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada terdapat bekas ahli UMNO mengemukakan permohonan bagi menyertai semula parti itu.
Ditanya mengenai bila mesyuarat akan diadakan, Ahmad Zahid berkata, ia dijangka pada Januari tahun depan atau bulan berikutnya.
Media sebelum ini melaporkan Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada 25 November lepas, menarik balik penggantungan keahlian bekas Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli UMNO berkuat kuasa serta-merta.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam kenyataan yang diedarkan kepada media selepas mesyuarat MT di Kuala Lumpur memaklumkan keputusan sebulat suara itu dibuat selaras dengan Fasal 10.6 dan Fasal 5.3 Perlembagaan parti.
Tajuddin sebelum ini digantung keahlian selama enam tahun bermula September 2022 kerana kesalahan mengkritik parti itu.
Pada 1 Disember lepas, Ahmad Zahid dilapor berkata, keputusan menarik balik penggantungan keahlian Tajuddin dalam UMNO adalah berikutan komitmen yang ditunjukkan beliau untuk kembali semula kepada parti itu.
Mengenai kenyataan bekas ketua penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan yang mengatakan beliau pandai membina naratif menjadi ‘hero’, Ahmad Zahid berkata: "Dia sudah tidak relevan lagi”. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!