Sasar tanam bawang merah seluas 20.23 hektar tahun depan
KUANTAN - Projek tanaman bawang merah di Pahang bakal diperluaskan dengan sasaran keluasan 20.23 hektar bermula tahun depan.
Pengarah Jabatan Pertanian Pahang, Muhd Rizal Baharom berkata, langkah itu diambil selepas kejayaan projek perintis dijalankan di Jerantut sekali gus menunjukkan potensi dalam pengeluaran bawang berskala besar.
"Kita akan membuka penanaman ini (bawang ) kepada daerah-daerah lain, setelah projek perintis di Jerantut menunjukkan kejayaan.
"Jadi, mereka yang berminat boleh memulakan penanaman bawang seluas 0.4 hektar paling minimum," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, Muhd Rizal berkata, pihaknya menyediakan latihan teori dan praktikal kepada pengusaha yang berminat mempelajari teknik penanaman bawang berskala besar.
Tambahnya, insentif juga akan diberikan kepada peserta selepas mereka menyertai kursus jangka pendek penanaman bawang.
"Saya yakin dengan latihan, tunjuk ajar serta bantuan yang diberikan oleh jabatan pertanian mampu memberi lebih peluang dalam memastikan kejayaan pengeluaran bawang di negeri ini," katanya.
Dalam pada itu, Muhd Rizal turut menjelaskan, kelebihan tanaman bawang adalah tempoh matangnya yang singkat, antara 75 hingga 90 hari selain penjagaannya yang tidak terlalu membebankan berbanding tanaman sayur-sayuran lain.
Ujarnya, setiap projek tanaman bawang dipantau sepenuhnya oleh pejabat pertanian daerah dalam memastikan projek berkenaan berjalan lancar.
Berdasarkan rekod, pasangan suami isteri, Azhar Arshad dan Haslina Hassan telah mengusahakan tanaman bawang jenis Bima Brebes berasal darı Jawa Timur, Indonesia seluas dua hektar di Kampung Pasir Sia, Tembeling Tengah, Jerantut.
Mereka mengusahakan projek itu September lalu dan telah meraih hasil fasa pertama lebih empat tan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!