Masalah kesihatan mental kanak-kanak, remaja naik dua kali ganda

Lukanisman Awang Sauni - Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
Lukanisman Awang Sauni - Foto: Jabatan Penerangan Malaysia
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi membabitkan kumpulan umur kanak-kanak, remaja dan belia menunjukkan peningkatan dua kali ganda berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, mengikut laporan itu, masalah mental mencatatkan kenaikan daripada 7.9 peratus iaitu 424,000 orang pada 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 orang) pada tahun lalu.

“Ini bermaksud peningkatan sebanyak dua kali ganda berdasarkan maklumat yang kita perolehi melalui NHMS.

“Selain itu dapatan NHMS turut menunjukkan peningkatan prevalen tingkah laku bunuh diri dalam tempoh 10 tahun di kalangan remaja,” katanya pada waktu pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang meminta menteri kesihatan menyatakan secara terperinci statistik isu kesihatan mental melibatkan pelajar sekolah dan mahasiswa institusi pengajian tinggi.

Lukanisman mendedahkan, idea bunuh diri dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan daripada 7.9 peratus pada 2012 kepada 13.1 peratus pada 2022.

“Pelan atau rancangan bunuh diri meningkat daripada 6.4 peratus pada 2012 kepada 10 peratus pada 2022.

“Peningkatan cubaan bunuh diri juga direkodkan daripada 6.8 peratus pada 2012 kepada 9.5 peratus pada 2022,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi menangani isu masalah mental berkenaan Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil inisiatif mewujudkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan dan membangunkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental Kanak-Kanak dan Remaja.

Menurutnya, pelan berkenaan yang dibangunkan dengan kerjasama dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dijangka dilancarkan menjelang tahun hadapan.

KKM juga menyediakan perkhidmatan talian bantuan krisis kesihatan mental iaitu Talian HEAL 15555 (Help with Empathy and Love).

“KKM menyediakan perkhidmatan kesihatan mental yang boleh diakses di 1,088 klinik kesihatan, 68 hospital dan 37 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) dan penempatan 200 Pegawai Psikologi (Kaunseling) Contract For Service (CFS) di daerah dan klinik kesihatan.

“KKM seterusnya berusaha meningkatkan bilangan pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja kepada 30 orang menjelang tahun 2027. Sehingga kini, terdapat 18 pakar tersebut di hospital KKM,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!