Rapid Kuantan dijangka tamatkan operasi bas di Kuantan

Razali Kassim
Razali Kassim
A
A
A

KUANTAN - Rapid Kuantan bakal menamatkan operasi bas di Kuantan dan akan digantikan dengan operator swasta baharu bagi tempoh 2025 sehingga 2030.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir Razali Kassim berkata, kerajaan negeri telah mengadakan perbincangan bersama Rapid Kuantan (Prasarana) dan Agensi Pengangkutan Awam (APAD) pada 8 Oktober lalu untuk mendapatkan penjelasan mengenai operasi bas di Kuantan.

Menurutnya, APAD telah membentangkan berkenaan tender terbuka yang dikeluarkan berkenaan Tranformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti 2.0 (SBST 2.0) di Kuantan dari tahun 2025 sehingga 2030.

"APAD memaklumkan Rapid Kuantan telah hadır untuk taklimat namun tidak memasuki tender terbuka SBST 2.0 Kuantan kerana permakluman masa yang terlalu singkat.

"Selain itu pihak Rapid Kuantan juga memaklumkan mereka mempunyai tapak depot kekal sebagai tempat menyelenggara bas selain nilai kontrak SBST 2.0 Kuantan untuk lima tahun tidak dapat menampung kos operasi bagi 55 bas sehari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) mengenai jangkaan penamatan perkhidmatan bas Rapid Kuantan dan operator swasta baharu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Rabu.

Razali berkata, Rapid Kuantan bagaimanapun perlu meneruskan perkhidmatan bas ini sehingga Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan untuk tender SBST 2.0.

"SBST 2.0 Kuantan merangkumi 16 laluan dan kesemua laluan tersebut telah dibuat kajian sebelum tender dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

"Selepas tender dikeluarkan akan ada kajian semula terhadap keberkesanan laluan selepas sembilan bulan hingga 12 bulan perkhidmatan bas diberikan," katanya.

Jelas beliau, bagi kajian semula keberkesanan laluan ini, APAD akan melibatkan wakil kerajaan negeri dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Operator baharu yang dilantik akan menyediakan pas bulanan bernilai RM50 tanpa had dan kad konsesi bagi orang kurang upaya (OKU), pelajar dan warga emas dengan kos pendaftaran RM10 dikenakan secara 'one off'.

Sementara itu, beliau berkata, penamatan operasi bas Rapid Kuantan dijangka akan menjejaskan 103 pekerja.

"Pekerja diberi tiga pilihan termasuk meneruskan khidmat mereka ke negeri lain yang mempunyai perkhidmatan itu.

"Kerajaan negeri juga akan berbincang dengan operator baharu sekiranya boleh menyerapkan pekerja-pekerja ini ke dalam syarikat mereka dan pilihan terakhir adalah pembayaran pampasan sewajarnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!