Pemandu lori didakwa sembunyikan ATM jongkong emas

Rakaman CCTV menunjukan kejadian individu melarikan ATM jongkong emas di Taman Permata di sini minggu lalu. Foto ihsan Polis.
Rakaman CCTV menunjukan kejadian individu melarikan ATM jongkong emas di Taman Permata di sini minggu lalu. Foto ihsan Polis.
A
A
A

AMPANG - Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas satu pertuduhan menyembunyikan mesin pengeluaran automatik (ATM) jongkong emas pada dua hari lalu.

Loh Kian Luck, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Normaizan Rahim.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja menyembunyikan harta curi iaitu satu mesin ATM Public Gold milik Syarikat Public Gold yang dilaporkan hilang di Jalan BA/6 Kawasan Perindustrian Bukit Angkat, Kajang, pada jam 3 petang, 2 Disember lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Vinobha Doss merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana mempunyai penyakit asma dan perlu menyara keluarga termasuk dua anak.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Normaizan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam pada 20 Februari 2025.

Artikel Berkaitan:

Pada 1 Disember lalu, seorang remaja antara tiga individu diberkas bagi melarikan ATM emas di Taman Permata di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, ketiga-tiga suspek ditahan susulan siasatan berdasarkan laporan dibuat seorang pegawai yang mendakwa mesin itu telah ditarik keluar oleh individu tidak dikenali 23 November lalu.

Bagaimanapun beliau berkata, ATM berkenaan tidak mengandungi jongkong emas kerana telah dikosongkan terlebih dahulu dan kerugian hanya membabitkan nilai mesin iaitu kira-kira RM60,000.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!