Bekas tukang masak dituduh curi jam tangan Rolex bernilai RM67,000

Tertuduh, Safaruddin Bacho (depan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.
Tertuduh, Safaruddin Bacho (depan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas satu pertuduhan mencuri satu jam tangan mewah jenama Rolex Oyster M bernilai RM67,000 di sebuah kedai menjual barangan mewah, hampir dua minggu lalu.

Safaruddin Bacho, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencuri jam terbabit, yang berada bawah jagaan seorang pekerja wanita berumur 32 tahun di sebuah kedai di Subang Jaya pada jam 10.40 pagi, 23 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh, Safaruddin Bacho (depan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.
Tertuduh, Safaruddin Bacho (depan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Shalehhuddin Salam yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar rendah.

“Dia masih bujang, perlu menanggung keluarga serta masih mencari pekerjaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Muhammad Syafiq membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Februari tahun depan untuk sebutan kes.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!