KLIA di rangking pertama prestasi global bagi kualiti perkhidmatan
KUALA LUMPUR - Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada di kedudukan pertama daripada 355 lapangan terbang yang disenaraikan dalam ranking Prestasi Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) Global.
Menurut "ASQ Departures Passenger Satisfaction Report: KUL Benchmark Performance” Suku Ketiga 2024 oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI), KUL mencapai skor sempurna 5.00 berdasarkan skala satu (lemah) hingga lima (cemerlang).
Prestasi KUL itu juga mengatasi skor kepuasan keseluruhan bagi Purata ASQ Global pada 4.32.
Lapangan terbang itu memperoleh skor 5.00 dalam beberapa kategori, mengatasi skor kepuasan keseluruhan bagi Purata Panel Kastam iaitu 4.88, skor kepuasan keseluruhan bagi Purata Asia-Pasifik (4.77) dan skor kepuasan keseluruhan bagi purata lapangan terbang yang mengendalikan lebih 40 juta penumpang setiap tahun (4.42).
Menurut laporan itu KUL juga menduduki tempat pertama daripada 20 lapangan terbang bagi Purata Panel Kastam (1/20), Purata Asia-Pasifik (1/100) dan Purata Lebih 40 juta Penumpang (1/41).
Bagi pengalaman keseluruhan, KUL mengekalkan skor sempurna 5.00, mengatasi Purata ASQ Global (4.19), Purata Panel Kastam (4.79), Purata Asia-Pasifik (4.65) dan Purata Lebih 40 Juta Penumpang (4.31).
Kaji selidik yang dijalankan antara 1 Julai hingga 12 Sept 2024 itu meliputi maklum balas daripada 352 penumpang berumur 16 tahun ke atas.
Secara keseluruhan, 355 lapangan terbang menyertai "ASQ Departures Main Programme” pada suku ketiga 2024. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!