Kumpulan syarikat LTAT salur bantuan banjir RM782,800
KUALA LUMPUR - Kumpulan syarikat Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) melaksanakan inisiatif bantuan banjir secara menyeluruh bernilai RM782,800 bagi menyokong komuniti yang terjejas di seluruh Malaysia.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, LTAT kekal proaktif dalam usaha bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat negara ini yang terjejas.
Menurutnya, mereka menyediakan bantuan segera keperluan asas kepada mangsa yang terjejas melalui sinergi bersama Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Dalam menghadapi cabaran berterusan banjir pada hujung tahun, LTAT kekal proaktif untuk bekerjasama dengan rakan strategik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terjejas.
“Fokus utama kami adalah memberikan sokongan segera kepada keluarga, khususnya anggota ATM dan veteran yang memainkan peranan penting dalam respons bencana.
“Kami berharap usaha ini dapat memberikan kemudahan serta bantuan yang diperlukan semasa mereka menghadapi cabaran musim hujan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohamad Ashraf berkata, pihaknya bersimpati terhadap semua mangsa yang terjejas akibat banjir dan berdiri teguh bersama mereka yang kini dalam usaha untuk membina semula kehidupan mereka.
"Kami turut menghargai pengorbanan dan dedikasi tidak berbelah bahagi barisan hadapan, sukarelawan, serta pasukan sokongan khususnya anggota ATM yang memberikan impak besar kepada kehidupan mereka yang memerlukan," katanya.
Bantuan itu dilakukan dengan diterajui kerajaan dan kumpulan syarikat LTAT, termasuk Pharmaniaga Berhad, Boustead Holdings Berhad (BHB), Boustead Plantations (BPlant), Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol), Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), Boustead Properties Berhad (BProp), dan Affin Group Berhad (AFFIN).
Üsaha sinergi itu kata Mohamad Ashraf, menyerlahkan komitmen teguh LTAT dan kumpulan syarikat dalam menyokong komuniti yang terjejas akibat banjir dengan tema Demi Rakyat dan Negara bagi memastikan bantuan segera dan pemulihan jangka panjang dapat dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!