Hati-hati sertai senaman berunsur keagamaan
KUALA LUMPUR - Umat Islam diminta berhati-hati menyertai sebarang senaman berunsur keagamaan yang bercanggah dengan hukum syarak.
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Irsyad Hukum Siri ke-871 menjelaskan persoalan hukum orang Melayu Islam mengikuti senaman pilates yang ciri-cirinya seperti yoga.
Menerusi kemas kini di Facebook, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata, hukum melakukan pilates itu adalah diharuskan selagi senaman itu dilakukan di kawasan yang tertutup dan tidak berlaku percampuran antara lelaki dan perempuan.
"Umat Islam hendaklah menjauhi senaman yang mengandungi unsur keagamaan seperti Yoga.
"Umat Islam juga dinasihatkan agar berhati-hati terhadap apa sahaja jenis senaman yang mengandungi upacara atau bacaan-bacaan tertentu yang bercanggah dengan hukum syarak," menurut perkongsian itu.
Sebelum ini Presiden Persatuan Sukan Yoga Malaysia (MYSA), Profesor Dr Lingham Pillai mengingatkan umat Islam supaya tidak menyertai atau mengamalkan yoga kerana amalan itu berasal daripada ritual agama Hindu.
Perkara itu dikongsikan menerusi akaun media sosial pendakwah bebas, Firdaus Wong pada 22 November lalu selepas pertemuan diadakan bersama Linggam di pejabatnya di Setapak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!