Felda lancar misi bantuan pasca banjir, jumlah sumbangan RM1.16 juta

Ahmad Shabery (tengah) ketika merasmikan Misi Bantuan Banjir Kumpulan Felda pada Rabu.
Ahmad Shabery (tengah) ketika merasmikan Misi Bantuan Banjir Kumpulan Felda pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kumpulan Felda melancarkan Misi Bantuan Banjir ‘Felda Gempur Bersama’ dengan jumlah sumbangan RM1.16 juta membabitkan 15 anak syarikat, koperasi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bantuan merangkumi barangan pembersihan, keperluan asas harian, makanan dan kit siap siaga itu akan disalurkan kepada 1,813 ahli keluarga daripada 496 rumah di kawasan terlibat yang kini sedang berdepan cabaran pasca banjir.

Menurutnya, peluncuran kali ini juga melibatkan kenderaan pacuan empat roda Pertubuhan Sahabat Pertahanan Awam (PeSPA) yang akan bekerjasama dalam semua aktiviti komuniti bermula daripada misi banjir sehingga gelombang seterusnya.

Felda melancarkan Misi Bantuan Banjir ‘Felda Gempur Bersama’ dengan jumlah sumbangan RM1.16 juta.
Felda melancarkan Misi Bantuan Banjir ‘Felda Gempur Bersama’ dengan jumlah sumbangan RM1.16 juta.

“Kami tumpu kepada 18 Rancangan Felda di Terengganu, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah. Felda Wilayah Raja Alias mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu di Rancangan Jelai 4 dengan 117 rumah keluarga terjejas, diikuti Seberang Tayor, Terengganu (107 rumah).

“Sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan dan keadaan menjadi lebih mencabar apabila beberapa kawasan seperti Felda Aring (Wilayah Gua Musang) serta Felda Tersat dan Mengkawang (Wilayah Terengganu) terputus hubungan akibat banjir.

“Situasi ini menjadikan misi bantuan kami lebih penting agar sumbangan sampai ke kawasan memerlukan. Ia bukan sahaja tertumpu kepada bantuan segera, tetapi juga persediaan menghadapi gelombang banjir seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media perasmian Misi Bantuan Banjir Kumpulan Felda bertempat di Menara Felda di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman; Pengerusi MSM Malaysia Holdings Berhad, Datuk Syed Hisham Syed Wazir; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Holdings Berhad, Fakhrunniam Othman; Setiausaha Agong PeSPA, Leftenan Kernal Bersekutu, Khamarul Ariffin Zainal dan barisan ahli lembaga pengarah.

Antara anak syarikat yang turut menghulurkan sumbangan ialah Felda Plantation Management (FPM) sebanyak RM72,000; Waqaf Felda (RM49,300); FGV (RM60,000); MSM dan Yayasan Felda masing-masing (RM100,000).

Ahmad Shabery memaklumkan, sebaik program dilancarkan, entiti terlibat akan terus bergerak ke kawasan terjejas bagi menyantuni mangsa banjir.

“Apabila bercakap tentang pasca banjir, ia menjadi komitmen kami untuk mengenalpasti kawasan yang memerlukan bantuan pembersihan contohnya sekolah, rumah, masjid atau balai raya.

“Saya percaya di tempat lain pun kerajaan negeri akan turut membantu golongan terjejas banjir.

“Bagaimanapun, saya menganggap banjir kali ini masih di peringkat sederhana. Namun, kita akan cuba selesaikan misi pembersihan sehingga habis,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!