Rasuah ADUN Sabah: Masiung harap SPRM panggil individu buat rakaman
KOTA KINABALU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berharap pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil individu yang membuat rakaman untuk siasatan terperinci berhubung dakwaan dalam video yang dimuat naik pada Rabu.
Malah beliau sendiri juga telah memberi keterangan di pejabat SPRM susulan video yang tular dikaitkan dengan dirinya menerusi sebuah portal berita.
"Kehadiran saya ke pejabat SPRM sebagai komitmen untuk memberi kerjasama sepenuhnya membolehkan pihak berwajib melakukan siasatan terperinci berhubung rakaman vedio tersebut
"Pegawai SPRM mengambil masa dua jam 30 minit untuk merekodkan keterangan saya pagi ini dan saya berpuas hati dapat memberi kerjasama.
"Dalam masa sama, saya juga berharap SPRM memanggil individu yang membuat rakaman tersebut untuk siasatan terperinci dan menyerahkan rakaman vedio sebenar perbualan berkenaan," katanya selepas keluar daripada pejabat SPRM pada Rabu.
Tambah Masiung, beliau mengalu-alukan mana-mana pihak berwajib untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut dan berjanji akan memberi kerjasama sepenuhnya.
Mengulas mengenai video tersebut, Masiung mendakwa bahawa video itu telah disunting dan ditokok tambah terlebih dahulu sebelum disiarkan.
"Rakaman video tersebut jelas tidak menggambarkan cerita sebenar, kerana ia disunting seolah-olah cerita itu berpihak kepada individu yang membuat rakaman tersebut.
"Jadi saya bersedia dipanggil SPRM bila-bila masa tanpa memberi alasan sakit atau sibuk dengan komitmen tugas," katanya.
Sehubungan itu, beliau percaya wujud campur tangan politik melibatkan parti pembangkang yang sengaja memerangkap beberapa ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai komplot untuk menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
"Saya sudah menjangkakan pembangkang akan melakukan komplot kerana berasa tergugat dengan kecemerlangan kerajaan negeri yang diterajui Hajiji menerusi Belanjawan Sabah 2025 diluar dugaan sebanyak RM7.421 bilion yang tidak pernah dilakukan pembangkang semasa menjadi kerajaan sebelum ini.
"Jadi rakyat di kawasan Kuamut diharap bertenang dan tidak memberi memberi sebarang spekulasi," katanya.
Sebelum itu, Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) tiba di pejabat SPRM tepat jam 9 pagi dan keluar dari pejabat tersebut sekitar jam 12.30 tengah hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!