Wanita warga asing buat kecoh, mengaku rakyat Malaysia
JOHOR BAHRU - Bukan sahaja mengaku kononnya warga Malaysia, namun seorang wanita warga Indonesia turut membuat kecoh dan provokasi selain cuba dilarikan diri semasa diperiksa penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor.
Wanita berusia 30-an itu juga cuba melarikan diri selepas tidak mahu bekerjasama menunjukkan kad pengenalannya.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Darus berkata, wanita berkenaan merupakan antara 24 warga asing yang ditahan dalam Ops Selera, Ops Dandan, Ops Minyak, Ops Kutip dan Ops Belanja yang dijalankan di beberapa premis di Taman Tampoi Indah.
Menurut beliau, serbuan pada jam 3 petang itu dilakukan anggota Unit Tindakan Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor.
"Hasil pemeriksaan lanjut terhadap kesemua premis berjaya menahan enam lelaki dan seorang wanita warga Myanmar, dua lelaki Pakistan dan dua lelaki dan dua wanita Indonesia.
"Selain itu, turut ditahan empat lelaki dan seorang wanita warga India, seorang lelaki Sri Lanka serta seorang lelaki dan empat wanita warga Vietnam.
"Kesemua mereka berusia 20 hingga 45 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Belian berkata, kesemua warga asing yang ditahan itu melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.
"Mereka juga disiasat bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa selain Peraturan 17(a) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas sosial.
"Sebanyak 12 notis hadir ke pejabat telah dikeluarkan oleh JIM bagi membantu siasatan.
"Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!