Juruwang maut ditikam: Polis buru suspek utama
KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan suspek utama kes seorang juruwang wanita warga China maut ditikam di restoran tempat mangsa bekerja di Cheras, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu.
"Suspek utama sedang dikesan, manakala motif kejadian masih belum dapat dipastikan lagi," katanya ringkas ketika dihubungi pada Rabu.
Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan 10 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut.
Pada Sabtu, media melaporkan mangsa berusia 49 tahun maut dipercayai ditikam dengan pisau, di restoran berkenaan.
Aidil dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan awal menemui antara empat hingga lima kesan tikaman pada tubuh mangsa dalam kejadian dianggarkan berlaku antara jam 3 hingga 4 petang itu.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital dengan menaiki ambulans.
Susulan itu, polis menahan tujuh suspek terdiri daripada rakan sekerja mangsa berusia 19 hingga 65 tahun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, iaitu bunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!