'Pastikan semua mangsa banjir terima bantuan, tiada yang tercicir' - MB Kelantan
KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud mahu semua mangsa banjir mendapat bantuan dan tiada satu pun yang tercicir.
Beliau berkata, tindakan pantas dalam membantu rakyat yang terkesan mesti menjadi keutamaan.
"Sebentar tadi, saya mempengerusikan Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan Kali Ke-24 di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim.
"Dalam mesyuarat, saya tegaskan kepada barisan Exco untuk kita terus komited menangani bencana ini. Keperluan asas seperti bekalan makanan perlu dipastikan mencukupi dan disalurkan segera kepada mereka yang memerlukan," katanya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di laman sosial Facebook miliknya pada Rabu.
Menurut beliau, pada masa sama semua pemulihan infrastruktur termasuk jalan-jalan dan rumah yang rosak akibat banjir perlu ditangani segera.
"Insya-ALLAH, semoga ALLAH SWT permudahkan dan menjadikan kita lebih kuat serta tabah menghadapi ujian ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!