Rasuah ADUN Sabah: Sayap UMNO Sabah gesa Hajiji letak jawatan Ketua Menteri
KOTA KINABALU - Sayap UMNO Sabah menggesa Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan jawatan beliau supaya siasatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini yang didakwa terlibat dengan skandal perolehan projek mineral dapat dijalankan dengan telus dan bebas.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abd Karim berkata, Pemuda UMNO menyatakan kebimbangan mereka terhadap isu yang melibatkan beberapa ADUN Sabah berdasarkan video yang tular bahawa terdapat dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa dan kemungkinan berlakunya penyelewengan yang boleh memberi kesan langsung kepada rakyat di negeri ini.
"Sebagai Ketua Menteri dan individu yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal negeri, beliau mesti mengambil tanggungjawab penuh terhadap isu ini.
"Oleh itu, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah mendesak Hajiji meletakkan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah agar siasatan dapat dijalankan secara bebas dan telus tanpa menganggu pentadbiran negeri Sabah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sufian berkata, satu siasatan menyeluruh dan bebas harus dilakukan terhadap organisasi mineral yang dikaitkan dan pendedahan hasil siasatan harus dibuat kepada rakyat Sabah.
"Kerana rakyat Sabah berhak mengetahui keadaan sebenar dan hasil siasatan dilaporkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap pentadbiran negeri.
"Sebagai rakyat Sabah, Pergerakan Pemuda UMNO Sabah tidak lagi boleh berdiam diri, ini sangat membimbangkan apabila wujud dakwaan bahawa sumber kekayaan negeri ini telah disalahgunakan sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negeri dan rakyat," katanya.
Sementara itu, Wanita UMNO Sabah turut menyatakan kegusaran terhadap dakwaan serius berkaitan video tular ADUN-ADUN Sabah yang mencerminkan wujudnya salah guna kuasa dan ketidakcekapan dalam menguruskan sumber asli di negeri ini.
Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris berkata, sebagai negeri yang kaya dengan hasil bumi, rakyat Sabah tidak boleh terus membiarkan kekayaan negeri ini dieksploitasi tanpa akauntabiliti.
"Sehubungan itu, Wanita UMNO Sabah dengan tegas mendesak Ketua Menteri Sabah meletakkan jawatan dengan segera agar memastikan pentadbiran neger kekal telus dan berintegriti.
"Selain itu, perlu tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat pengurusan sumber asli negeri Sabah secara menyeluruh demi memastikan Sabah kembali kepada landasan pembangunan yang adil dan berintegriti," katanya.
Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Ummi Nabilah Jamal dalam kenyataannya oula turut mendesak supaya siasatan penuh terhadap kontroversi tersebut.
"Isu yang membelenggu adalah satu tamparan hebat kepada usaha kita yang memastikan hasil bumi Sabah diuruskan dengan cekap, telus dan berpandukan kepada keadilan social.
"Kehilangan hasil kekayaan negeri mencerminkan kegagalan serius kepimpinan Ketua Menteri dan kerajaan GRS dalam melindungi amanah rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!