Bukan kerana desakan - Hamidin

Hamidin bercakap ketika sidang media Mesyuarat Ke-13 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM hari ini. Foto Bernama
Hamidin bercakap ketika sidang media Mesyuarat Ke-13 Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi Penggal 2021-2025 di Wisma FAM hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Hamidin Mohd Amin menafikan desakan daripada penyokong serta tekanan yang dipikulnya menjadi faktor beliau mahu meninggalkan badan induk bola sepak itu.

Menurut Hamidin, keputusannya untuk tidak mempertahankan jawatan pada kongres pemilihan akan datang dibuat kerana mahu memberikan peluang kepada pemimpin baharu memacu FAM ke arah yang lebih bagus.

Beliau berkata, keputusan itu sudah difikirkan lama selain masa terbaik untuk mengundurkan diri menjelang Kongres FAM untuk penggal 2025-2029 pada 15 Februari tahun depan.

"Saya tidak akan mempertahankan jawatan ini. Lagi pun dah enam tahun setengah (menjadi presiden), saya rasa sudah cukup dan memberikan ruang untuk individu lain memimpin persatun yang besar ini sekali gus membawa ke arah yang lebih baik.

"Ini keputusan saya selepas berbincang dengan keluarga. Tiada apa pun yang pelik. Tiada kaitan dengan desakan penyokong atau sebagainya.

"Ia bukan keputusan terburu-buru, tetapi sudah lama saya fikirkan untuk habiskan penggal ini sahaja. Inilah peluang terbaik untuk ahli gabungan pilih presiden baharu," katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kali ke-13 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Rabu.

Hamidin telah dipilih sebagai Presiden FAM bagi penggal 2018-2021 pada Kongres FAM Ke-54 pada 2018 dan seterusnya mengekalkan jawatannya itu buat penggal kedua iaitu 2021-2025 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM Ke-57 pada 2021.

Di bawah kepimpinan beliau, Harimau Malaya berjaya layak secara merit ke Piala Asia 2024 selepas 42 tahun, berjaya memenangi Piala Pestabola Merdeka baru-baru ini selain memperbaiki ranking Harimau Malaya ke arah yang lebih baik.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, bola sepak wanita yang mula berkembang dan infrastruktur meliputi pusat latihan kebangsaan dan Wisma FAM yang baharu sedang dibina.

Beliau berkata, segala pencapaian dan perkembangan tersebut akan menjadi sejarah dan kenangan manis buatnya.

"Apa yang paling penting, kesinambungan pemimpin baharu akan bawa untuk FAM menjadi lebih bagus. Saya tidak penting, namun FAM perlu terus berada di landasan terbaik dan saya akan terus memberikan sokongan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!