Giliran Sheila Majid jadi mangsa berita palsu
PENYANYI Datuk Sheila Majid meluahkan rasa kesal apabila gambar dan namanya disunting pihak tidak bertanggungjawab serta digunakan sebagai berita palsu di media sosial.
Menerusi paparan skrin yang dimuat naik di Instagram miliknya, dapat dilihat wajah bintang berusia 59 tahun itu disunting seolah-olah diiringi polis berserta tajuk 'Police arrested Sheila Majid After Her Speech On Economic Opportunities For The People'.
"Astaghafirullahalazim.. Ini jahat. Apa matlamat dia? Cuba beritahu..." luahnya pada hantaran di Instagram miliknya.
Menyifatkan perbuatan itu sebagai tindakan jahat, pemilik nama penuh Shaheila Abdul Majid, 59, turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengesan pelakunya.
"Bolehkah SKMM menangkap penipu ini? Sudah semakin melampau!" tegasnya berserta tanda pagar sampah masyarakat dan berita palsu.
Rata-rata pengikut termasuk rakan artis menyifatkan tindakan individu yang menyunting gambar itu sebagai biadab dan tidak bertanggungjawab.
Sebelum ini, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Alif Satar juga pernah menjadi mangsa dengan modus operandi sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!