MAPIM hantar bantuan ke Gaza minggu depan

Majlis pelancaran Bantuan Musim Sejuk Untuk Keluarga Gaza oleh MAPIM.
Majlis pelancaran Bantuan Musim Sejuk Untuk Keluarga Gaza oleh MAPIM.
A
A
A

SEREMBAN - Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) akan menghantar bantuan berbentuk wang tunai, ubatan serta barangan keperluan terutamanya khemah dan pakaian ke Gaza bagi menghadapi musim sejuk minggu hadapan.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sebelum ini 100 kontena pelbagai sumbangan telah berjaya dibawa masuk dan diagihkan kepada rakyat Palestin secara berperingkat.

"Minggu depan saya bercadang untuk berangkat dan melihat bagaimana kita boleh masuk sama ada melalui Rafah atau Kerem Shalom.

"Kita sedang berunding kalau boleh masuk walaupun keadaan sangat rumit tetapi ada berita mengatakan bantuan itu boleh dibenarkan sekiranya kerjasama diberikan oleh kerajaan Mesir.

"Jika melalui kerajaan Jordan, jauh untuk masuk ke Gaza," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Bantuan Musim Sejuk untuk keluarga Gaza di sini pada Rabu.

Hadir merasmikan majlis itu, isteri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof.

Sumbangan untuk Gaza diserahkan kepada MAPIM diwakili Presidennya, Mohd Azmi (kanan)
Sumbangan untuk Gaza diserahkan kepada MAPIM diwakili Presidennya, Mohd Azmi (kanan)

Dalam pada itu katanya, setakat ini sumbangan Gaza yang diterima MAPIM sudah mencecah RM500,000.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap individu yang disyaki menyalahgunakan wang derma melalui badan bukan kerajaan (NGO) turut menyebabkan nama MAPIM terpalit.

Katanya, perkara itu menyebabkan orang ramai ragu-ragu untuk memberi sumbangan melalui pihaknya termasuk beberapa NGO lain untuk disalurkan kepada warga Palestin.

Jelas beliau, MAPIM tidak pernah mengambil caj pengurusan daripada kutipan sumbangan awam seperti yang dibenarkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapatkan dana lain untuk menampung kos operasi.

"Pada peringkat awal, bukan sahaja MAPIM, banyak yang terpalit dan kecewa apabila ada pihak yang mengambil kesempatan.

"Dia letak tabung dan saya diberitahu ada orang salah guna nama MAPIM. Itu sangat bahaya.

"Kami sedang memantau, jika ada cepat hubungi ibu pejabat dan semak, jika perlu lapor polis, kami lapor," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!