Warga emas bimbang berdepan gelombang kedua banjir
SETIU - Kudrat yang terhad memaksa seorang warga emas meminta bantuan ahli keluarganya untuk membersihkan sisa lumpur banjir setelah kediamannya di Kampung Nyatoh, di sini dinaiki air.
Zakaria Ismail, 77, berkata, walaupun banjir beransur pulih, kawasan rumahnya di sini masih ditenggelami air setinggi 0.5 meter.
"Rumah saya belum siap dicuci, namun saya bimbang kalau banjir gelombang kedua berlaku lagi, saya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Saya tinggal di sini sejak 50 tahun lalu, belum pernah lagi terjadi banjir setinggi ini. Kali ini banjir agak besar," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Nyatoh di sini pada Rabu.
Zakaria berkata, disebabkan tenaganya terbatas kerana sudah berusia, dia terpaksa meminta bantuan anak dan cucunya yang tinggal berdekatan untuk membantu membersihkan kawasan rumah.
"Kalau nak harapkan saya seorang, memang tak mampu nak bersihkan rumah, angkat kain baju dan tilam yang ditenggelami air," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Che Abu Che Jantan, 59, berkata, setiap kali musim banjir, dia paling lama berpindah ke PPS di kampung itu kerana berdepan masalah 'banjir termenung'.
"Kedudukan rumah saya yang agak rendah menyebabkan ia dinaiki air kira-kira 2 meter setiap tahun. Kali ini paras air masih serupa.
"Air dalam rumah juga mencecah paras sama dan keadaan ini diramal berterusan selama beberapa hari lagi.
"Hampir saban tahun juga saya menjadi antara mangsa pertama yang berpindah ke PPS dan menjadi yang terakhir pulang ke rumah apabila air mulai surut," katanya yang hampir seminggu tinggal di PPS Kampung Nyatoh, di sini.
Dalam pada itu, katanya, dia juga mungkin kembali berpindah ke PPS sekiranya hujan berterusan kembali melanda.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) meramalkan negeri Pantai Timur mungkin mengalami banjir gelombang kedua bermula 8 hingga 14 Disember ini.
“Keadaan ini berpotensi menyebabkan berlaku ribut petir serta hujan lebat dalam tempoh tertentu," kata kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!