Negeri Sembilan salur RM1,000 kepada KIR, RM500 calon SPM terjejas
SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan menyalurkan sumbangan bernilai RM1,000 kepada lebih 700 ketua isi rumah (KIR) dan RM500 kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir minggu lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ketua isi rumah berkenaan juga akan menerima sumbangan RM1,000 yang disalurkan oleh kerajaan Persekutuan melalui bantuan wang ihsan kepada mangsa banjir di seluruh negara.
"Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri hari ini bersetuju untuk meluluskan sumbangan tersebut termasuk RM500 kepada 40 orang calon SPM yang terlibat dan telah berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah terjejas di negeri ini.
"Sumbangan tersebut membabitkan peruntukkan hampir RM1 juta dan akan diagihkan kepada setiap KIR yang berpindah ke PPS dan mengikut syarat ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),"katanya selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Aminuddin turut menjelaskan setiap kerosakan yang berlaku akibat banjir akan diperbaiki segera bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.
Katanya, tembok penahan banjir di Sungai Kelamah, Gemas yang pecah akan dibaiki segera, termasuk membaik pulih jambatan-jambatan yang terputus akibat banjir.
"Sebarang kerosakan akan kita baiki segera, dan jika ada gelombang kedua kita telah bersedia, malah akan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang sama untuk menangani bencana banjir, selain akan menambah baik beberapa perkara yang akan dibincangkan kemudian," katanya
Sementara itu, mengenai pelarasan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco kerajaan negeri, ia tidak pernah diselaraskan sejak 10 tahun lalu.
Katanya, selama 10 tahun lepas semua ADUN dan Exco mendapat gaji di paras tangga yang sama, selain tiada kenaikan tahunan menjadikan Negeri Sembilan merupakan (gaji ADUN dan Exco) terendah berbanding negeri lain.
"Alhamdulillah pada tahun ini bajet kita berada dalam keadaan baik, iaitu bajet berimbang. Tahun lepas kita ada lebihan, malahan peruntukan untuk bajet kita juga bertambah menjadi RM70 juta berbanding tahun lalu.
"Tiada isu pun, malah kita naik ini juga melihat kepada pelarasan negeri-negeri lain, dan kali ini dirasakan paling sesuai iaitu selepas 10 tahun tiada pelarasan dilakukan,"katanya.
Sebelum ini, media melaporkan, pada membentangkan Rang Undang- Undang (RUU) meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan ADUN (Saraan) 1980 di persidangan Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Aminuddin berkata, ia bertujuan menyelaraskan semula gaji sedia ada memandangkan kedudukan gaji ADUN tersenarai sebagai gaji terendah berbanding wakil rakyat di negeri lain.
Aminuddin kemudian menjelaskan bahawa kajian tentang sistem saraan itu telah dibincangkan dan diperhalusi sebaiknya tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!