Dulu derma buah pinggang kepada isteri, kini jalan kaki ke Makkah
SHAH ALAM - Dalam merealisasikan impian tunai haji pada 2025, dua pemuda, Mohamad Al-Bukhari Ellia, 26, dan sahabatnya, Mohamad Azizul Abdullah, 34, telah memulakan misi berjalan kaki dari Bagan Serai, Perak menuju ke Makkah pada Ahad lalu.
Isteri Mohamad Al-Bukhari, Nurul Hasanah Salim, 32, berkata, suaminya memasang impian ke Tanah Suci sejak tahun lepas.
"Suami saya sudah membuat pelbagai latihan untuk ke Makkah sejak tahun lepas. Tahun ini baru betul-betul dia bersedia.
"Perancangannya untuk menunaikan haji di Makkah pada Jun depan. Dia memang niat nak menunaikan haji terus," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menerusi perkongsian TikTok Mohamad Al-Bukhari, perancangan berjalan kaki ke Makkah merupakan ilham daripada kisah-kisah para sahabat Nabi Muhammad SAW yang sering mengembara bagi menyampaikan dakwah syiar Islam.
Difahamkan, Mohamad Al-Bukhari dan Azizul membuat persediaan secara serius sejak empat bulan lalu.
Mereka turut mempersiapkan diri untuk misi tersebut dengan membuat latihan berjalan kaki sejauh 220 kilometer (km) dari Changkat Lobak ke Cameron Highland pada bulan lalu.
Sebelum ini, Mohamad Al-Bukhari yang juga peniaga itu mendermakan buah pinggang kiri kepada isterinya menerusi prosedur transplan pada 12 Mei 2023.
Demi menyelamatkan nyawa isteri, Mohamad Al-Bukhari mengikut saranan doktor dengan menjadi penderma buah pinggang kerana enggan isterinya terus melakukan rawatan dialisis.
Tambah Nurul Hasanah, suaminya menggunakan wang simpanan hasil perniagaan dalam talian untuk menyempurnakan misi berkenaan.
"Dari segi kos pula, suami buat perniagaan dalam talian produk utamanya iaitu minyak angin dan selebihnya 'affliate' produk orang lain.
"Hasil jualan inilah kos yang dia kumpul untuk ke sana dan sekali gus buat visa Mujamalah," katanya.
Dalam misi terbabit, mereka membawa kelengkapan asas seperti dapur memasak, khemah dan bekalan makanan kering yang diletakkan dalam troli yang ditolak Azizul.
Difahamkan, Mohamad Al-Bukhari dan Azizul akan mengikuti jalan raya Persekutuan dan jalan raya negeri untuk menuju ke Pintu Sempadan Malaysia - Thailand di Bukit Kayu Hitam dijangka mengambil masa dua minggu.
Perkongsian Mohamad Al-Bukhari mengenai perkembangan terkini mereka di TikTok miliknya menerima pelbagai respons dan reaksi positif daripada warga maya yang tidak henti memberikan galakan.
Ramai yang menitip doa agar perjalanan mereka selamat dan ingin menawarkan sumbangan serta penginapan percuma.
Sementara itu, pada 2023, seorang berstatus orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri, Herrynizam Saleh, 43, nekad menunaikan haji dan berjalan kaki sampai di Makkah.
Impiannya ke Tanah Suci tercapai selama 25 hari selepas ada individu menaja penerbangan untuknya ke sana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!