Hati-hati ketika menulis dan menaip, bimbang maksiat tangan bertambah
WALAUPUN terdapat riwayat masyhur menyatakan, mulut antara penyebab ke neraka, namun kita juga perlu berhati-hati dalam menulis kalam mahupun komentar.
Sebagaimana pertuturan, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mencoret apa sahaja yang dimahukan.
Menerusi perkongsian pendakwah Ustaz Azhar Idrus di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa, beliau menghuraikan panjang lebar tentang maksiat lisan berkaitan dua tangan.
Jelas beliau, maksiat yang dilakukan oleh tangan itu termasuklah menulis perkara yang diharamkan oleh syarak.
“Ia sepertimana perkara yang diharamkan daripada bercakap seperti mengumpat yang merupakan dosa besar.
“Maka, haram menuliskan umpatan itu dan berdosa besar hukumnya sama ada menulis pada kertas atau skrin di media elektronik,” katanya sepertimana dipetik menerusi Facebook miliknya.
Selain mengumpat, ujar Ustaz Azhar, kita dilarang keras mengumpat, memaki, mencela, menabur fitnah, menuduh orang, bersaksi palsu, membuka aib, melakukan akad yang haram dan seumpamanya.
Beliau kemudian memetik pandangan Syeikh Muhammad Salim Bafadhal dalam kitab Is’adu ar-Rofiq yang menyatakan: “Dan setengah daripada dosa itu menulis perkara yang haram diperkatakan.
“Kitab Al-Bidayah mengatakan, sesungguhnya pena itu salah satu daripada dua lidah, maka kamu peliharalah pena itu daripada perkara yang wajib dipelihara oleh lidah daripada mengumpat dan lainnya.
“Maka janganlah seseorang itu menulis perkara yang haram dituturkan daripada sekalian perkara yang telah lalu disebutnya tanpa syak dengan ketiadaan darurat yang besar. Maka seorang manusia itu hendaklah menjaga penanya daripada menulis segala yang tidak ada dan segala perkara kekarutan, mungkar dan tidak dibenarkan syarak.”
Melihat ungkapan itu, ujar Ustaz Azhar, jelaslah bahawa kita diharamkan sama sekali menulis perkataan yang di dalamnya mengandungi unsur mengumpat seperti menulis surat kepada seseorang yang menceritakan keburukan yang lain.
Begitu juga surat yang di dalamnya terdapat coretan berbentuk makian, carutan dan celaan terhadap saudaranya.
“Selain itu, tidak boleh menulis perkara fitnah atau tuduhan yang memudaratkan dan mencatatkan saksi yang dusta, tulisan mengaibkan dan mencoretkan surat yang ada di dalamnya muamalat yang haram seperti riba serta jual beli haram.
“Tidak boleh juga menulis berita bohong dan seumpamanya. Sesiapa yang berbuat demikian dikira melakukan maksiat dengan tangannya dan berdosa hukumnya,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Azhar menegaskan, tulisan itu tidak hanya terbatas di atas kertas, tetapi juga termasuk di menaip untaian perkataan di media sosial.
“Seseorang yang menaip perkara haram di sisi syarak, maka dia berdosa dan kekal dosanya selagi mana tulisannya tidak dipadamkan serta tidak meminta maaf dan menarik balik tulisannya.
“Apabila bertambah ramai orang membacanya, maka semakin meningkatlah dosanya,” ungkapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!