Banjir terburuk di Kampung Jambu sejak 57 tahun lalu

Mangsa banjir yang menerima rawatan di wat di Kampung Jambu, Tumpat.
Mangsa banjir yang menerima rawatan di wat di Kampung Jambu, Tumpat.
A
A
A

TUMPAT - Banjir yang melanda Kampung Jambu di sini disifatkan terburuk sejak 57 tahun lalu hingga menyebabkan penduduk terpaksa menyelamatkan diri ke Wat Phothivihan pada Khamis.

Ketua sami Wat Phothivihan Kampung Jambu, Sun Kok Wai berkata, hujan dan limpahan air Sungai Golok menyebabkan pekarangan wat itu turut dinaiki air setinggi 1.2 meter.

Katanya, wat sebelum ini pernah ditimpa bencana banjir teruk pada 1967 dan kejadian kali ini hampir sama.

“Semasa air naik, penduduk ke wat ini untuk menyelamatkan diri dan kereta.

“Kira-kira 400 mangsa datang berlindung di tingkat atas dewan kerana tingkat bawah wat sudah dimasuki air setinggi 0.7 meter,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Sami turut menerima rawatan di wat di Kampung Jambu, Tumpat.
Sami turut menerima rawatan di wat di Kampung Jambu, Tumpat.

Kok Wai berkata, banyak kereta penduduk yang ditinggalkan dalam kawasan tersebut rosak kerana ditenggelami air.

“Kami tidak menduga situasi seteruk ini,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mangsa banjir yang berlindung di wat brkenaan, Sunan Eh Put, 46, berkata, dia bersama lima ahli keluarganya lari menyelamatkan diri kerana air naik dengan mendadak.

“Dua hari kami berlindung di wat dan makan sedikit makanan lebihan kenduri dua bulan lalu.

“Masuk hari ketiga barulah ada badan bukan kerajaan tiba memberikan air dan mi segera untuk kami dan penduduk lain yang ada di wat ini,” katanya.

Terdahulu, seramai 11 kakitangan perubatan mewakili NGO BeVital terdiri daripada penolong pegawai perubatan, jururawat serta ahli farmasi datang ke Wat Phothivihan bagi memberikan rawatan serta agihan ubat untuk mangsa banjir.

Menurut wakilnya, Dr Humaira Yah, pasukan itu tiba pada Selasa tetapi terpaksa menangguhkan perjalanan kerana paras air masih tinggi.

“Kami datang untuk membantu merawat mangsa banjir di kawasan ini dan mengagihkan ubatan.

“Kami akan ke lokasi-lokasi lain yang terjejas untuk tujuan sama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!