Polis tidak terima laporan dakwaan data MyKad 17 juta rakyat bocor
KUALA LUMPUR - Polis tidak menerima laporan berhubung kebocoran data MyKad milik 17 juta rakyat negara ini seperti yang didakwa di media sosial.
Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, setakat ini tiada laporan polis diterima berkenaan dakwaan sebuah syarikat teknologi maklumat Singapura melalui hantaran di laman X berkaitan penjualan data MyKad di laman web gelap.
"Hasil siasatan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia JSJK Bukit Aman, tidak ditemui sebarang laporan berkaitan isu yang dinyatakan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Rohaimi berkata, pihaknya akan terus melakukan pemantauan bagi menentukan kesahihan maklumat tersebut.
"Siasatan yang sewajarnya akan dilaksanakan bersama agensi lain yang berkaitan sekiranya laporan polis berkenaan isu tersebut diterima kelak," ujarnya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pengguna laman X, mendakwa, sampel MyKad Malaysia telah dikongsi secara terbuka di laman web gelap berkenaan.
Gerakan gesa siasat kesahihan MyKad dijual di pasaran gelap
Dalam pada itu, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menggesa Kementerian Komunikasi menyiasat kesahihan laporan media mengenai kebocoran data 17 juta MyKad dijual di laman web gelap.
Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai juga menggesa agar hasil laporan terbabit didedahkan kepada umum.
Menurutnya, disebabkan jenayah siber yang semakin meluas, kerajaan dan syarikat swasta perlu sentiasa memperbaiki dan meningkatkan sistem agar tidak berlaku kebocoran data.
"Jika berita ini benar, ia bermaksud separuh daripada data penduduk telah terdedah secara terbuka yang melibatkan isu keselamatan rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas beliau, tindakan penjenayah berkongsi sampel MyKad di laman web gelap adalah sesuatu yang serius dan menyebabkan kerugian sukar dianggarkan kepada rakyat dan ekonomi negara.
"Kebocoran data berskala besar seperti ini sangat membimbangkan kerana ia boleh membawa kepada jenayah serius seperti kecurian identiti dan penipuan kewangan," katanya.
Dominic menegaskan bahawa pendigitalan merupakan sebahagian daripada pelan besar dan visi Kerajaan Perpaduan namun begitu, dakwaan kebocoran data daripada jabatan kerajaan, institusi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sangat membimbangkan.
Beliau turut mendakwa bahawa Yayasan Digital Malaysia (YDM) sebelum ini mendedahkan bahawa sejumlah besar data peribadi rakyat Malaysia yang berasal daripada jabatan kerajaan dan institusi swasta telah dijual di laman web gelap pada harga antara RM4,400 hingga RM45,000.
"Menurut Laporan Penipuan Tahunan Gogolook 2022, lebih 21 juta nombor telefon rakyat Malaysia telah bocor atau dijual kepada kumpulan penipuan dalam talian, dengan kadar kebocoran mencapai 73 peratus, tertinggi di Asia.
"Sebelum ini, pangkalan data utama di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, termasuk Jabatan Pembangunan Penduduk dan Keluarga Negara, juga telah mengalami masalah kebocoran data," dakwanya.
Dakwa beliau, banyak agensi kerajaan atau syarikat swasta pada masa ini mewajibkan rakyat dan pelanggan untuk berkongsi data peribadi mereka, di mana ia bukan lagi privasi peribadi di negara ini.
"Kerajaan perlu memperbaiki undang-undang berkaitan dan meningkatkan hukuman untuk membendung kegiatan penipuan yang semakin berleluasa," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!