Ahli Parlimen Kepala Batas kalah saman 3 pemimpin DAP
GEORGE TOWN - Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan bahawa kenyataan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad yang mengaitkan Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan mendiang pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, serta bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah fitnah dan dibuat dengan niat jahat.
Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Quay Chew Soon memutuskan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Pas itu berunsur fitnah dan pembelaannya atas dasar komen adil, keistimewaan bersyarat, dan penyebaran tanpa niat jahat tidak dapat dibuktikan.
“Oleh itu, saya memberikan ganti rugi global sebanyak RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok,” katanya ketika menyampaikan keputusan tersebut melalui aplikasi Zoom pada Rabu.
Beliau turut memerintahkan faedah lima peratus dikenakan ke atas jumlah tersebut dari tarikh keputusan sehingga tarikh pembayaran.
“Saya juga memberikan perintah injunksi untuk menghalang defendan daripada mengeluarkan, menulis atu menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif,” tambahnya.
Bagi kos, Quay Chew mengarahkan defendan membayar RM25,000 kepada setiap plaintif kerana ketiga-tiga saman itu didengar bersama, sekali gus menjimatkan kos.
Mengulas mengenai perbezaan jumlah ganti rugi, beliau menjelaskan bahawa ia mengambil kira kedudukan Kit Siang yang lebih lama dalam politik serta penganugerahan gelaran Tan Sri oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kenyataan yang dipertikaikan lebih banyak melibatkan keluarga Lim berbanding Teresa Kok,” katanya.
Dalam pada itu, ketika membaca alasan penghakimannya, Quay Chew telah berpuas hati bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Siti Mastura telah mendedahkan plaintif kepada kebencian serta menghasut pendapat umum yang buruk terhadap mereka, yang melangkaui kritikan politik biasa.
“Kritikan terhadap lawan politik adalah sah selagi tidak melangkaui batas fitnah. Pembelaan Siti Mastura yang mengaitkan Kit Siang, Guan Eng dan Teresa sebagai saudara seseorang bukan lah fitnah adalah tidak dapat diterima.
“Apa yang kita ada di sini bukan sekadar kenyataan tidak berbahaya tentang hubungan kekeluargaan, malah kenyataan berunsur fitnah yang mengaitkan plaintif dengan pemimpin komunis. Dengan ini, terdapat insinuasi bahawa mereka menyokong komunisme,” jelasnya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa seorang individu yang munasabah akan memahami maksud tersirat di sebalik tuduhan yang mengaitkan plaintif dengan seorang pemimpin komunis.
"Saya juga mendapati kenyataan Siti Mastura dibuat dengan niat jahat kerana kesimpulan yang dibuat adalah keterlaluan, tidak berasas, melulu dan memfitnah.
“Sebagai ahli politik veteran dan ahli Parlimen, defendan sepatutnya lebih berhati-hati dalam ucapannya. Merujuk kepada Lee Kuan Yew sebagai Lim Kuan Yew untuk menyokong naratifnya menunjukkan niat buruk dari pihaknya,” katanya.
Beliau menambah bahawa Siti Mastura bergantung kepada penerbitan yang tidak sahih dan gagal mengesahkan kandungannya.
"Dia juga tidak mendapatkan pengesahan langsung daripada plaintif, yang ketika itu adalah ahli Parlimej dan boleh dihubungi.
“Walaupun mempunyai PhD dengan amalan penyelidikan yang baik, defendan bergantung kepada sebuah buku kempen yang tidak disahkan, tanpa tahun penerbitan, pengarang, penerbit atau nombor ISBN,” katanya.
Jelasnya lagi, asal usul buku tersebut adalah misteri dan sesiapa sahaja boleh menerbitkannya serta melabelnya sebagai penerbitan komunikasi Barisan Nasional.
“Walaupun buku itu asli, defendan tidak boleh mengulanginya sebagai fakta tanpa mengesahkan maklumat tersebut,” tambahnya.
Kit Siang, Guan Eng, dan Kok memfailkan saman fitnah terhadap Siti Mastura pada 27 November tahun lalu.
Sebelum ini, tiga pemimpin DAP menyaman Siti Mastura berhubung ucapannya dalam ceramah pada Pilihan Raya Kecil Kemaman, yang mana saman tersebut difailkan secara berasingan oleh Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, bapanya, Tan Sri Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim selaku plaintif pada 27 November tahun lalu.
Menerusi penyataan tuntutan, ketiga-tiga plaintif mendakwa Siti Mastura telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka mempunyai pertalian dengan Parti Komunis dan ketuanya Chin Peng serta mendiang Kuan Yew.
Mereka mendakwa ketika ceramah pada 4 November 2023, defendan telah membuat beberapa kenyataan yang merujuk secara langsung dan tidak langsung kepada ketiga-tiga plaintif iaitu mereka mempunyai hubungan dengan parti komunis, menyokong serta mengamalkan selain menyebarkan ideologi dan falsafah komunisme dalam negara.
Bagaimanapun, dalam pembelaannya yang difailkan pada Januari lalu, Siti Mastura telah mempertahankan kenyataannya itu bahawa ia dibuat berdasarkan kebenaran dan fakta.
Siti Mastura berkata, dakwaannya itu dibuat berdasarkan buku panduan 'BN Comms' yang membuat penyelidikan mendalam, diterbitkan Barisan Nasional untuk pemimpin partinya menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!