'Kenapa hantar nyawa di Korea, yang balik hanya jasad' - Ibu
KOTA KINABALU - 'Kenapa dia hantar nyawa ke sana', Itu rintihan berulang kali yang dikeluarkan daripada Sapina Hasan, 64, sebaik mengetahui anaknya, Hanalin Datu Harun, 39, meninggal dunia di Korea Selatan.
Menurut kakak sulung mangsa, Monalisa, 45, ketika dimaklumkan oleh adik bongsunya yang berada di negara tersebut mengenai Hanalin mereka sekeluarga seperti tidak percaya dengan berita tersebut.
"Saya tidak percaya sebab sehari sebelum itu kami ada membuat panggilan video dan arwah tidak menunjukkan dia dalam keadaan sakit. Malah ceria seperti biasa.
"Jadi apabila kami menerima mesej daripada adik bongsu pada 24 November bahawa Analin sudah meninggal dunia, sukar untuk kami terima apatah lagi mahu memaklumkan kepada ibu kami.
"Ketika menyampaikan berita itu, ibu kami berulang kali menyebut dia sudah melarang Hanalin ke Korea tetapi dia berdegil dan akhirnya 'menghantar' nyawanya ke sana," katanya ketika ditemui pemberita ketika menyambut ketibaan jenazah Hanalin di pekarangan MASkargo di sini pada Rabu.
Bagaimanapun, Monalisa berkata, mereka kini reda dengan pemergian arwah dan sudah menerima kenyataan kehilangan adiknya yang tersayang itu.
"Memang pada awalnya sukar untuk kami fahami apa yang berlaku malah adik bongsu saya yang berada di sana pun sukar untuk memaklumkan keadaan yang sebenar sehingga dia tidak mampu bercakap dalam telefon, hanya menghantar teks mesej menyatakan Hanalin sudah tiada.
"Tetapi selepas hampir dua minggu pemergiannya, kami sudah mulai reda," katanya.
Sementara itu, Sapina tidak menyangka rintihan anaknya yang ingin pulang ke Sabah dalam panggilan telefonnya sebelum itu rupanya adalah yang terakhir sebelum keranda jenazah anak kelimanya itu tiba di Kota Kinabalu.
Menurutnya, dia memang ada berhubung dengan arwah Hanalin beberapa hari sebelum disahkan meninggal dunia namun dia langsung tidak memaklumkan menghidap sakit gastrik sepanjang berada di sana.
"Kali terakhir kami berbual, Nalin (Hanalin) menyatakan 'Mak sakit aku, mahu pulang aku ni (Sabah)' tetapi rupanya jenazah dia yang pulang.
"Saya langsung tidak tahu dia sakit, di sini pun saya tidak tahu dia ada gastrik tetapi sekurang-kurangnya makan minum dia terjaga.
"Mungkin dia tidak mahu beritahu dia sakit sebab risau saya ada penyakit darah tinggi juga," katanya.
Sebelum itu, jenazah Hanalin tiba di pekarangan MASKargo sekitar jam 12.50 tengah hari dan disambut ahli keluarga, kenalan rapat serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Jenazah Hanalin dibawa ke Masjid Hikmah Kampung Tengah Pekan Kinarut untuk sembahyangkan sekali lagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Belud Sadok, Pekan Kinarut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!