Azlan Man perlu bayar nafkah idah bekas isteri RM12,850
SHAH ALAM – Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat di sini pada Rabu, memerintahkan bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man membayar nafkah idah kepada bekas isterinya, Sova Ali sebanyak RM12,850.
Peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Sova, 42, selaku plaintif berkata, mahkamah mengarahkan Azlan, 65, melunaskan nafkah idah itu dalam dua kali bayaran selewat-lewatnya 30 Januari tahun depan.
“Sebelum ini anak guam memohon sebanyak RM20,700 daripada Azlan selaku defendan, namun mahkamah membenarkan jumlah berkenaan.
"Defenden juga diperintah membayar kos kepada plaintif sebanyak RM2,000,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Syarie, Umamuddin Yunus pada Rabu, Sova yang juga warga Indonesia diwakili peguam syarie, Siti Hajar Mohd Khusairi sementara Azlan diwakili peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.
Berdasarkan dokumen tuntutan nafkah idah, pasangan ini telah bernikah dengan kebenaran mahkamah pada 21 Mac 2010 Jakarta Timur, Indonesia.
Pernikahan mereka telah didaftarkan Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Rujuk Orang Islam Negeri Perlis melalui Sijil Perakuan Nikah Luar Negara.
Mereka kemudiannya disahkan bercerai di luar dan tanpa kebenaran melalui suatu prosiding kes di Mahkamah Rendah Syariah di Hulu Langat di sini.
Hakim syarie telah mensabitkan lafaz talak satu raji'e tersebut sah mengikut hukum syarak pada 23 April 2022.
Pada 25 Ogos 2022 lalu, Sinar Harian melaporkan, pasangan ini sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat Bangi, selepas melayari bahtera perkahwinan selama 12 tahun.
Azlan dan Sova berkahwin pada 21 Mac 2010 di Perlis, namun tidak dikurniakan cahaya mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!