500,000 produk Gardenia KL disumbang kepada mangsa banjir
SHAH ALAM - Lebih 500,000 unit produk Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) bernilai RM600,000 disumbangkan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas di Pantai Timur, Utara serta Lembah Klang.
Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Perhubungan Awamnya, Hazlinah Harun berkata, sumbangan itu disalurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta pihak berkuasa tempatan bagi memastikan pengagihan bantuan dilakukan dengan pantas kepada mereka yang memerlukan.
"Sebagai sebuah syarikat yang dekat di hati rakyat Malaysia, kami amat bersimpati terhadap kesukaran dihadapi oleh mangsa banjir.
“Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat kami untuk memastikan mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sentiasa mempunyai makanan yang sedia untuk dimakan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, sumbangan seperti roti putih, roti krim berperisa dan sapuan kaya itu adalah salah satu inisiatif #GardeniaCares yang sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat di negara ini.
“Ia juga sebagai satu tanda penghargaan dari kami kepada masyarakat yang sentiasa menyokong Gardenia KL” ujarnya.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan sama berkata, kementeriannya sentiasa menggalakkan dan menghargai sokongan daripada sektor swasta dalam membantu rakyat mendepani krisis bencana alam seperti banjir.
“Bantuan dan sumbangan seperti yang diberikan oleh Gardenia KL ini amat kami hargai kerana ia dapat meringankan beban mangsa.
“Inisiatif oleh Gardenia KL ini benar-benar menunjukkan kerjasama sektor awam-swasta yang baik demi manfaat rakyat,” menurutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!