Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2024 dijangka kuat kuasa 1 Januari ini
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan akta berkenaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 14 November lepas dan telah diwartakan pada 26 November.
PETRA berkata, EECA mampu memberikan impak positif kepada agenda pembangunan lestari dan manfaat sosioekonomi negara sehingga tahun 2050 termasuk penjimatan penggunaan tenaga kumulatif berjumlah 2,017 juta Gigajoule (GJ).
"Ia bersamaan dengan penjimatan bil utiliti berjumlah RM97.1 bilion (pengiraan berdasarkan tarif elektrik semasa) serta membolehkan penghindaran karbon sebanyak 197,877 ktCO2,” menurut kenyataan itu.
PETRA memaklumkan penguatkuasaan EECA hanya melibatkan pengguna yang menggunakan tenaga sama atau melebihi nilai ambang 21,600 Gigajoule setahun iaitu bersamaan dengan bil minimum elektrik sebanyak RM2.4 juta setahun atau bil minimum gas asli sebanyak RM1.0 juta setahun.
Kementerian itu menganggarkan 4.3 peratus pengguna tenaga sektor industri yang menyumbang kepada kira-kira 66 peratus penggunaan tenaga di dalam sektor industri akan tertakluk kepada EECA.
"Manakala hanya 0.04 peratus pengguna tenaga sektor komersial, yang menyumbang kepada 21 peratus penggunaan tenaga oleh sektor komersial akan terlibat,” menurut kenyataan itu.
PETRA berkata, pematuhan kepada akta berkenaan akan melibatkan kos yang minimum kepada sektor industri dan komersial berbanding dengan faedah jangka panjang yang akan diperoleh semua pengguna tenaga.
"Ia menyumbang kepada aspirasi peralihan tenaga negara khususnya dalam mengendalikan pengurusan permintaan tenaga dengan efektif,” menurut kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof menekankan bahawa EECA 2024 adalah instrumen penting untuk memacu serta memperluaskan inisiatif kecekapan tenaga negara merangkumi tenaga elektrik dan termal.
Menurut kenyataan itu tumpuan akan diberikan dalam aspek pengurusan permintaan tenaga secara menyeluruh, mempromosikan kecekapan tenaga dan amalan penggunaan tenaga secara lestari oleh sektor industri, komersial dan domestik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!