Kedah pertimbang pemberian bantuan kewangan kepada semua mangsa banjir

Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang media selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah bercadang memperluas pemberian bantuan kewangan kepada semua mangsa banjir di Kedah yang dilanda banjir gelombang kelima termasuklah ketua isi rumah (KIR) tidak berpindah atas faktor tertentu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagaimanapun pihaknya akan membangunkan mekanisme baharu yang bersesuaian dan munasabah demi memastikan semua mangsa banjir mendapat pembelaan sewajarnya.

Beliau memaklumkan, ia memandangkan ada mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), namun ada juga berlindung di tingkat atas rumah masing-masing, masjid dan sebagainya.

"Sebelum ini, kita umum siapa yang berpindah ke PPS akan menerima sumbangan RM1,000 melalui setiap ketua isi rumah (KIR).

"Bagaimanapun, kita mengesan ada isi rumah yang duduk di banyak PPS, yang isteri daftar sana manakala suami daftar sini,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman, di sini pada Rabu.

Tambahnya, Pegawai Daerah telah mengesan beberapa kejadian seperti itu sekali gus memaklumkan perkara terbabit kepadanya.

Menurutnya lagi, individu tertentu ini dikhuatiri cuba mengambil kesempatan dengan menipu semata-mata untuk mendapatkan bantuan kewangan itu.

Artikel Berkaitan:

"Tidak baguslah amalan itu sebab kita bagi ketua isi rumah sebanyak RM1,000, tetapi ada dapat RM3,000 hingga RM4,000. Kira tidak halal kan,"katanya.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri akan meneliti pelbagai aspek supaya ia tidak berulang kembali.

"Kita hendak bagi juga kepada rakan-rakan yang tidak berpindah. Ada juga yang berpindah tapi rumah tidak tenggelam tetapi dinasihatkan berpindah disebabkan air naik dan jalan terputus.

"Jadi, mereka diangkut keluar, itu (dikategorikan) mangsa banjir walaupun barang tidak rosak, rumah tidak naik air tetapi (atas) faktor keselamatan dinasihatkan diangkut keluar,"katanya.

Muhammad Sanusi berkata, situasi terbabit merupakan senario baharu dihadapi ketika banjir melanda Kedah kali ini.

"Walaupun kerajaan (negeri) memutuskan untuk membantu dan memberi sedikit sumbangan tetapi kita hendak bangunkan satu mekanisme yang munasabah,"katanya.

Menurutnya, antara beberapa kriteria akan ditetapkan termasuklah mangsa banjir perlu membuat laporan polis, dapatkan pengesahan Majlis Ketua Kampung (MKK) serta penghulu sebelum bantuan disalurkan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

"Jumlahnya kita masih tunggu angka penuh," katanya.

Jelas beliau, pihaknya akan mendapatkan jumlah KIR terlebih dahulu sebelum menentukan nilai sumbangan diberikan disebabkan kedudukan kewangan kerajaan negeri agak terhad.

"Kita takut apabila kita umum (jumlah bantuan kewangan) tetapi KIR terlalu ramai, kita tidak mampu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi memaklumkan, pihaknya mendapati trend banjir melanda Kedah kali ini tidak sama seperti banjir pada September lepas.

Beliau berkata, ada daerah tertentu seperti Pendang yang kerap dilanda banjir 'temenung' sebelum ini didapati tidak dilanda banjir kali ini.

Muhammad Sanusi menambah, banjir melanda Kedah kali ini disebabkan hujan lebat yang melebihi dua kali ganda kadar hujan tahunan iaitu daripada 175 mililiter (mm) kepada lebih 300 mm.

Beliau memaklumkan, keadaan ini menyebabkan air terkumpul hingga berlakunya limpahan air sekali gus mengakibatkan banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!