Jumlah mangsa banjir tahun ini tertinggi selepas banjir besar 2014 - PM
PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah mangsa banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang direkodkan sejak 5 November lepas, iaitu seramai 235,706 orang, daripada 68,868 keluarga di sembilan negeri terjejas, adalah yang tertinggi selepas banjir besar melanda negara semasa MTL 2014/2015.
Anwar pada masa yang sama turut menzahirkan kebimbangan kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir terutama di negeri-negeri yang terjejas banjir baru-baru ini.
Beliau berkata, setakat ini keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu surut sedikit, namun beberapa kawasan di Johor dan Pahang menunjukkan trend menaik.
"Kebimbangan ialah kemungkinan (ramalan dari) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), (akan berlaku) gelombang kedua, " katanya semasa berucap pada Majlis Pengumpulan Dana Ihsan Madani di Kompleks Seri Perdana di sini pada Rabu.
Mengulas perkembangan terkini banjir Anwar berkata, setakat pukul 6 pagi tadi 65,991 mangsa daripada 19,969 keluarga ditempatkan di 220 pusat pemindahan sementara (PPS).
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Skuad Ihsan Madani yang terdiri daripada sukarelawan penjawat awam daripada pelbagai kementerian dan agensi akan digembleng atur gerak bagi membantu fasa pemulihan pasca bencana.
Skuad itu yang diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, akan diselaras oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dengan kerjasama pihak Jabatan Perdana Menteri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!