'Perang dua penjuru' landa Syria
DAMSYIK - Syria berdepan satu lagi pertempuran sengit melibatkan tentera kerajaan dan puak pembangkang, Pasukan Demokratik Syria (SDF) disokong Amerika Syarikat (AS) yang tercetus di timur laut negara itu pada awal pagi Rabu.
Ia sekali gus, membuka satu lagi medan tempur yang mencetuskan 'perang dua penjuru' setelah tentera rejim Presiden Bashar al-Assad kehilangan Aleppo di tangan puak pemberontak pada minggu lalu.
Badan pemantau perang Damsyik memaklumkan tentera kerajaan berjaya menangkis serangan SDF bersama sekutunya di wilayah Deir Ezzor, sehari selepas pertempuran ganas di kawasan timur yang bersempadan Iraq.
“Serangan sejak Selasa yang menyasarkan pejuang pro-Iran itu turut disertai kempen pengeboman unit udara AS dan meragut 16 nyawa termasuk dua orang awam,” ujar Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).
Dalam perkembangan berkaitan, tentera rejim Bashar memperhebatkan operasi dengan melancarkan serangan balas berhampiran Hama setelah puak pemberontak dipimpin Hayat Tahrir al-Sham (HTS) semakin mara ke wilayah utara itu.
Ketika ini, Rusia yang merupakan sekutu rapat Syria memaklumkan ia saling berhubung rapat dengan Iran dan Turkiye bagi mengawasi perkembangan di Damsyik.
Teheran juga memberitahu ia mungkin mempertimbangkan langkah menghantar pasukan tentera ke Syria jika terdapat keperluan mendesak.
Sementara itu, Perdana Menteri Iraq, Shia al-Sudani menegaskan Baghdad tidak akan hanya menjadi 'penonton' peningkatan konflik di Damsyik dan beliau mendakwa serangan Israel telah menyebabkan kemaraan pemberontak. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!