PLSB Sungai Golok akan diteruskan hingga siap
KOTA BHARU - Kerajaan tegas akan tetap meneruskan pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok sehingga siap.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan itu perlu dalam mengurangkan kemusnahan banjir dan mengimbangi keperluan berdepan dengan situasi terbabit untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, dalam tempoh sama, rakyat di negeri ini terutama yang berada berhampiran lembangan sungai berkenaan akan berdepan beberapa lagi siri banjir sementara menunggu projek tersebut siap sepenuhnya.
“Saya faham kalau kita tinggal di situ tentulah sangat-sangat terkesan, tetapi banyak perkara sudah diambil kira pihak Jabatan Pengairan dan Saliran serta kontraktor sebelum ini.
“Untuk jangka masa panjang kita perlukan projek ini, cuma ada beberapa perkara perlu dihadapi dalam jangka masa pendek iaitu beberapa siri banjir sementara projek tersebut siap,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Tinjauan Bencana Monsun Timur Laut di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, beliau memberitahu, pihaknya juga akan meneliti dengan lebih lanjut langkah-langkah bagi meminimumkan gangguan ataupun kesan secara langsung kepada penduduk dalam tempoh pembinaan projek PLSB.
“Tahun lepas juga ada aduan sama dan beberapa tindakan secara langsung dibuat, ramai puas hati namun tiba hujung tahun, hujan lebat masih ada masalah yang timbul.
“Kami akui dan akan cuba sebaik mungkin untuk mengambil tindakan wajar yang tidak menjejaskan projek selain mempertimbangkan langkah perlu di peringkat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri,” ujarnya.
Berhubung hasrat penduduk agar PLSB dipercepatkan, Nik Nazmi berkata, projek berkenaan sangat mencabar bukan sahaja berkait soal pembinaan infrastruktur itu semata-mata tetapi proses seperti pengambilan tanah, teknikal dan sebagainya yang mengambil masa lama.
“Paling penting kena buat dengan betul kerana tebatan banjir ialah antara infrastruktur dengan kos paling mahal dalam perbelanjaan negara.
“Jadi kena buat dengan betul supaya berkesan apabila siap nanti,” katanya.
Sebelum ini, banyak keluhan penduduk khususnya di Rantau Panjang yang mahu PLSB dihentikan kerana menyebabkan banjir lebih tiga meter di kawasan sekitar termasuk Kampung Tersang, Lanchang dan Gual To’ Deh.
PLSB kini berada pada fasa satu dengan 70 peratus kemajuan seterusnya PLSB fasa dua dan tiga akan bermula kemudian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!